AIRULMI (kanan) berjaya menamatkan maraton penuh sejauh 42 kilometer dengan catatan masa enam jam 13 minit.
AIRULMI (kanan) berjaya menamatkan maraton penuh sejauh 42 kilometer dengan catatan masa enam jam 13 minit.

Kuala Lumpur: Pernah berdepan serangan jantung hampir meragut nyawa apabila pembuluh darah jantungnya tersumbat lebih 90 peratus.

Bagaimanapun Airulmi Mokhtar bangkit melawan penyakit itu apabila melakukan maraton penuh (42 kilometer) pada acara Tokyo Maraton 2023, Ahad lalu.

Pada acara yang juga antara enam kejohanan maraton bertaraf dunia dan diiktiraf oleh Abbot World Marathon Majors itu, Airulmi, 46, berjaya menamatkan larian dalam cuaca sejuk, lapan darjah (Celsius) dengan catatan masa enam jam 13 minit.

Berkongsi kisahnya itu, Airulmi berkata, dia terpilih mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang sepatutnya berlangsung pada Mac 2020, selepas pendaftarannya yang dilakukan secara undi membabitkan pelari dari serata dunia, berjaya diterima.

Namun, impiannya untuk berlari ketika itu tidak kesampaian kerana pandemik Covid-19 melanda menyebabkan pihak penganjur membatalkan acara itu dan penyertaannya sudah dibawa ke acara sama tahun ini.

"Awalnya saya tidak menyangka nama saya terpilih kerana itu impian lama saya untuk berlari di satu daripada acara maraton paling sukar disebabkan permintaan penyertaan yang tinggi. Jadi, ketika itu keadaan saya masih sihat dan bersemangat serta sentiasa melakukan latihan larian seperti biasa.

"Tiba-tiba, dua minggu sebelum bermula acara, penganjur umum ia dibatalkan kerana Covid-19. Kecewa saya kerana segala persiapan sudah dibuat termasuk latihan, tiket penerbangan dan penginapan di Tokyo sudahpun ditempah," katanya.

AIRULMI terkena serangan jantung dua kali  ketika melakukan larian harian.
AIRULMI terkena serangan jantung dua kali ketika melakukan larian harian.

Bagaimanapun, Airulmi yang berasal dari Johor Bahru berkata, perancangan Tuhan itu lebih mengetahui apabila selang seminggu dari tarikh acara maraton dibatalkan itu, beliau terkena serangan jantung dua kali semasa melakukan aktiviti larian.

"Pada hari Ahad, kali pertama ketika saya melakukan recovery run, tiba-tiba sesak nafas dan hampir terjatuh. Masa itu saya tak pasti ada sakit jantung, ingatkan asma jadi saya pergi klinik ambil rawatan nebulizer.

"Hari Isnin selepas solat Isyak saya cuba lagi sekali berlari kerana tidak puas hati apa masalah saya semalam dan kali kedua ia berlaku saya hampir pitam. Keesokannya saya ke hospital buat pemeriksaan, akhirnya doktor sahkan pembuluh darah jantung saya tersumbat," katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, beliau bersyukur penyumbatan itu bukan 100 peratus dan beliau dinasihatkan doktor hanya perlu melakukan prosedur memasang stent berbanding pembedahan.

"Bayangkan kalau saya pergi dan ditakdirkan Tokyo Maraton berlangsung pada Mac 2020 itu, mungkin situasi jauh lebih teruk kepada saya terjadi. Pada masa sama, saya hampir putus harapan, apakah saya mampu lagi menyertai larian jarak jauh selepas ini?

"Sebaliknya, selepas mengikuti pemulihan kardiologi, diet, pengambilan ubat dan mengikuti latihan larian sesuai, alhamdulillah saya kembali boleh berlari seperti dulu," katanya yang pernah juga menyertai acara maraton antarabangsa lain seperti Gold Label, Singapore Marathon 2018 dan Chiang Mai Marathon 2017.

Ditanya punca beliau terkena serangan jantung, Ketua Pembangunan Perniagaan di sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) itu berkata, senario itu berkemungkinan berlaku kerana gaya hidup dahulunya yang pernah merokok, obes sehingga berat 105 kilogram, selain stres sebelum berubah mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif berlari sejak 2016.

Sementara itu, Pakar Perubatan dan Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Ara Damansara Dr Zubin Othman Ibrahim berkata, peluang untuk seseorang pesakit jantung untuk kembali aktif dan normal adalah tinggi, bergantung kepada rawatan awal dan tidak berlaku kerosakan yang serius pada jantung.

"Yang paling kita tidak mahu pesakit yang sudah menerima rawatan dan mengikuti pemulihan, tetapi selepas itu dia tidak berbuat apa-apa senaman jadi kemungkinan timbul masalah penyakit lain pula seperti obesiti dan darah tinggi.

"Sebaliknya dengan bersenam ia akan menambah baik jantung dan peparu kita," katanya yang turut mengesyorkan supaya individu berusia 35 tahun ke atas melakukan saringan kesihatan awal walaupun aktif dan tidak pernah mengalami sebarang penyakit kerana selain faktor pemakanan, serangan jantung juga boleh berlaku disebabkan genetik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 8:00 AM