Klang City Quarter Marathon 2023 dapat sambutan hebat
Klang City Quarter Marathon 2023 dapat sambutan hebat

Klang: Jenama sukan terkenal dari Taiwan, Footer mengumumkan pembabitan sebagai antara penaja utama acara Footer Klang City Quarter Marathon 2023 selain memperkenalkan stokin berteknologi bagi Asia Tenggara.

Acara Footer Klang City Quarter Marathon 2023 di Centro Mall Klang dijadualkan berlangsung pada 17 Disember ini.

Pengarah Urusan Footer, Chin Jia Zhuang dalam sidang media semalam menjelaskan kepentingan kerjasama menerusi acara itu secara tidak langsung dapat memperkenalkan teknologi stokin inovatif Footer di rantau ini.

Menurut beliau, produk Footer telah mendapat pengiktirafan untuk ciri-ciri keselesaan dan tahan lasak.

"Stokin Footer memberikan perlindungan antibakteria 99.9 peratus yang menakjubkan, menetapkan standard baharu untuk kebersihan dan kesihatan dalam pakaian sukan.

"Selain itu, stokin Footer direka untuk mengelakkan kecederaan, satu aspek yang sering diabaikan oleh atlet. Ia bukan sekadar aksesori malah 'teman penting' untuk perjalanan olahraga anda. Malah ia turut diperakui" katanya.

Tambah Chin, stokin yang berkualiti rendah atau tidak sesuai boleh menyebabkan jangkitan kuman dan kecederaan.

"Rangkaian produk pelbagai yang ditawarkan oleh Footer memenuhi keperluan khusus atlet dan peminat luar yang berbeza, sama ada seorang pelari maraton, bagi aktiviti berbasikal atau pengembara.

"Apa yang lebih menarik premis utama kami akan dibuka di Pavilion Damansara pada Disember ini, menjadikan pakaian sukan berkualiti tinggi ini lebih mudah diakses berbanding sebelum ini." katanya.

Menurutnya lagi Footer Klang City Quarter Marathon 2023 menjanjikan pelbagai aktiviti dan program menarik antaranya membabitkan inovasi, kualiti dan kesihatan.

"Kami menjemput semua peminat, atlet dan media untuk mengambil bahagian dalam acara ini." katanya.

Selain acara larian utama sejauh 10 kilometer (km) bagi kategori Terbuka dan Veteran terdapat juga aktiviti Fun Run sejauh 5 km. Maklumat lanjut layari laman sesawang www.footer.com.my atau tiket2u untuk penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 2:29 PM