(FOTO FAIL) Segerombolan lori membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, menunggu di jalan padang pasir (Kaherah - Ismailia) dalam perjalanan ke persimpangan sempadan Rafah untuk memasuki Gaza. FOTO REUTERS
(FOTO FAIL) Segerombolan lori membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, menunggu di jalan padang pasir (Kaherah - Ismailia) dalam perjalanan ke persimpangan sempadan Rafah untuk memasuki Gaza. FOTO REUTERS
AFP

Semenanjung Gaza: Konsainan pertama bahan api sudah memasuki Gaza untuk penghantaran terhad bagi membenarkan rawatan air sisa dan penyambungan semula komunikasi.

Penghantaran pertama tiba dari Mesir lewat Jumaat ketika pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang situasi yang semakin terdesak bagi 2.4 juta rakyat Palestin dan merayu untuk gencatan senjata.

Amerika Syarikat berkata Washington memberikan tekanan terhadap Israel selama berminggu-minggu untuk membenarkan bahan api masuk.

Agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) berkata 70 peratus penduduk tidak mempunyai akses kepada air bersih di selatan Gaza, di mana kumbahan mentah mula mengalir di jalanan.

Di bawah perjanjian itu, 140,000 liter (37,000 gelen) bahan api dibenarkan dibawa masuk setiap 48 jam, di mana 20,000 liter akan diperuntukkan untuk penjana untuk memulihkan rangkaian telefon.

Komunikasi itu terputus selama dua hari selepas kehabisan minyak dan konsainan pertama kira-kira 17,000 liter diperuntukkan untuk syarikat telekomunikasi Paltel.

Israel mengenakan kepungan ke atas wilayah itu, membenarkan hanya sedikit bantuan dari Mesir tetapi menyekat penghantaran bahan api atas kebimbangan Hamas boleh mengalihkan bekalan untuk tujuan ketenteraan.

Bagaimanapun, pada hari Jumaat, kabinet perang Israel sebulat suara bersetuju membenarkan dua kapal tangki bahan api sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 11:38 AM