TRAK membawa bantuan termasuk bekalan PBB bersedia memasuki Gaza menerusi lintasan Rafah. FOTO AFP.
TRAK membawa bantuan termasuk bekalan PBB bersedia memasuki Gaza menerusi lintasan Rafah. FOTO AFP.
Agensi

Gaza: Konvoi kedua trak yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin sudah memasuki wilayah Gaza menerusi lintasan darat Rafah di sempadan Mesir, semalam.

Menurut media Mesir yang dilapor Anadolu, lintasan darat itu dibuka selama dua hari berturut-turut dengan konvoi pertama membabitkan 20 trak memasuki wilayah pada Sabtu.

Bagaimanapun, Reuters melaporkan, tidak lama selepas konvoi kedua yang membabitkan 14 trak memasuki Rafah, satu daripada kereta kebal Israel didakwa melepaskan tembakan yang mengena sempadan Mesir.

Tentera Israel berkata, tindakan itu adalah tidak disengajakan.

Jurucakap tentera Mesir berkata, insiden terbabit menyebabkan beberapa pengawal sempadannya cedera.

Sementara itu, pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, jumlah bantuan yang memasuki Gaza setakat ini hanya empat peratus daripada purata harian sebelum perang.

Katanya, ia sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan bagi menambah makanan, air, ubat-ubatan dan stok bahan api yang kehabisan.

Penghantaran bantuan kemanusiaan itu bermula selepas rundingan selama beberapa hari sejak konflik meletus antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 4,651 rakyat Palestin terkorban akibat serangan Israel, manakala kira-kira 1,400 penduduk Israel maut dalam serangan Hamas.

TRAK membawa bahan api antara yang dilihat melintasi sempada Rafah memasuki Gaza. FOT AFP.
TRAK membawa bahan api antara yang dilihat melintasi sempada Rafah memasuki Gaza. FOT AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 10:59 AM