TRAK membawa bantuan kemanusiaan menunggu di lintasan Rafah sebelum gencatan senjata berakhir. FOTO AFP
TRAK membawa bantuan kemanusiaan menunggu di lintasan Rafah sebelum gencatan senjata berakhir. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Bantuan ke Gaza, Palestin terkandas berhampiran sempadan lintasan sempadan Rafah dari Mesir ketika Israel menyambung semula operasi ketenteraannya pada Jumaat.

Pemandu trak berkata mereka menjangka berlaku kelewatan dalam proses penghantaran yang sememangnya rumit sebelum ini namun dapat dipercepatkan seketika semasa gencatan senjata selama seminggu.

"Pengeboman berlaku sejak 7 pagi. Ada pesawat dan artileri. Kami belum boleh bergerak," kata pemandu Saleh Ebada yang sudah menunggu selama lapan hari bagi memasuki lintasan untuk pemeriksaan apabila secara tiba-tiba pertempuran kembali meletus.

Sumber keselamatan Mesir dan seorang pegawai Bulan Sabit Merah berkata, bantuan dan trak bahan api sudah berhenti masuk ke Gaza dari Mesir.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan semula pertempuran semula itu dianggap sebagai malapetaka dan berkata kesinambungan penghantaran bantuan adalah bermasalah.

Jurucakap lintasan sempadan Rafah mengesahkan pintu masuk trak yang membawa bantuan, bahan api dan gas memasak yang sangat diperlukan dari Mesir ke Semenanjung Gaza sudah terhenti kerana pengeboman Israel disambung semula.

Rafah menjadi satu-satunya pintu masuk untuk bantuan masuk ke Gaza sejak Israel mula mengepung dan mengebom wilayah pantai sejak 7 Oktober lalu.

Sementara itu, Ashraf al-Qudra, jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, merayu kepada 'setiap hati nurani yang hidup' untuk membenarkan pembukaan lintasan Rafah di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat.

"Bantuan perubatan yang memasuki Gaza semasa gencatan senjata hanya cukup untuk satu hari. Sektor kesihatan di Gaza sukar berfungsi," kata al-Qudra dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hanya tiga hospital berfungsi di Gaza namun ia juga sudah tidak boleh menerima sejumlah besar pesakit khususnya mangsa perang.

Kenyataan al-Qudra itu dikeluarkan ketika serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 109 mangsa dan mencederakan ratusan lain, menurut pegawai Palestin.

Petugas perubatan sedang bergelut untuk membantu pesakit yang hanya dirawat di lantai hospital akibat kekurangan katil.

Penerbangan antarabangsa sudah mendarat di lapangan terbang El Arish di Sinai untuk menghantar kargo bantuan manakala konvoi trak juga sudah membawa bantuan dari Kaherah.

Di bawah sistem yang dilaksanakan sejak 21 Oktober, trak bantuan terpaksa memandu untuk pemeriksaan ke persimpangan Al-Awja dan Nitzana di sempadan Mesir dengan Israel sebelum kembali ke Rafah untuk menghantar kargo mereka, perjalanan pergi balik lebih 80 kilometer (km) yang pekerja bantuan dan pegawai Mesir berkata ia menyebabkan kesesakan.

Gencatan senjata selama minggu membolehkan lebih banyak makanan, ubat-ubatan, bahan api dan air dihantar, tetapi kuantiti itu kekal jauh lebih rendah daripada yang diperlukan 2.3 juta penduduk Gaza, kebanyakan mereka kehilangan tempat tinggal akibat perang.

Pemandu trak Mesir berkata mereka mengalami kelewatan sementara menunggu pemeriksaan dan pengimbasan barangan yang diawasi oleh anggota keselamatan Israel di Al-Awja.

"Semua halangan ada kerana mereka yang mengawal pergerakan barangan," kata Gameel Mahmoud Idrees, seorang pemandu yang menunggu berhampiran persimpangan Rafah dengan muatan bekalan makanan, penghantaran bantuan kedua sejak perang bermula.

Beliau berkata, mereka memasuki persimpangan dan menunggu empat atau lima hari sehingga pemeriksaan selesai.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melobi supaya Israel membuka persimpangan Karem Abu Salem (Kerem Shalom) berhampiran Rafah yang mengendalikan sejumlah besar barangan sebelum perang.

Tetapi Israel, yang bimbang bantuan boleh digunakan oleh Hamas, setakat ini menolak.

Pemandu trak, Ebada berkata gencatan senjata membenarkan kira-kira 200 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari, lebih dua kali ganda daripada purata sebelumnya.

Menurut Ebada, semasa gencatan senjata beberapa trak sudah dapat memandu dari sebelah Mesir terus ke Gaza.

Idrees, pemandu kedua, berkata ketika pertempuran bermula sekali lagi dia merasakan trak bantuan tersekat selama seminggu.

"Kami sedang menunggu sehingga mendapat pelepasan keselamatan kerana terdapat kira-kira 350 trak di dalam di Al-Awja, dan ia perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Sebelum gencatan senjata, pemandu trak Mesir melakukan pemunggahan di Rafah untuk barang dimuatkan ke trak lain sebelum diedarkan ke Gaza, dan penghantaran kadangkala terganggu oleh kekurangan bahan api atau pengeboman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 2:06 PM