AFP

Baitulmaqdis: Nyawa sekurang-kurangnya 120 bayi dalam inkubator di hospital Gaza yang dilanda perang umpama di hujung tanduk apabila kehabisan bahan api, agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Ahad.

Lebih 1,750 kanak-kanak terbunuh oleh serangan Israel yang dilancarkan terhadap Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober, menurut kementerian kesihatan wilayah Palestin.

Hospital berdepan kekurangan ubat-ubatan, bahan api dan air bukan sahaja untuk beribu-ribu pesakit yang cedera dalam peperangan lebih dua minggu perang antara militan Gaza dan Israel tetapi untuk pesakit rutin.

"Pada masa ini kami mempunyai 120 bayi yang berada dalam inkubator, yang mana 70 daripadanya memerlukan bantuan ventilasi mekanikal dan sudah tentu keadaan sangat membimbangkan," kata jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Jonathan Crickx.

Bahan api adalah satu kebimbangan utama bagi tujuh wad pakar di seluruh Gaza yang merawat bayi pramatang untuk membantu pernafasan dan memberikan sokongan kritikal, contohnya apabila organ mereka tidak cukup berkembang.

Israel mengarahkan sekatan sepenuhnya ke atas wilayah itu selepas serangan Hamas, yang mana kumpulan itu membunuh 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pegawai Israel.

Akibat pemotongan elektrik itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Khamis bahawa hospital sudah kehabisan bahan api untuk dijana.

WHO berkata, kira-kira 1,000 pesakit yang memerlukan dialisis juga akan berisiko jika penjana berhenti.

Dua puluh trak bantuan sudah menyeberang dari Mesir ke Gaza pada Sabtu tetapi bahan api tiada dalam konsainan.

"Jika mereka (bayi) diletakkan dalam inkubator, ini bermakna jika bekalan elektrik diputuskan, kami sangat bimbang terhadap nyawa mereka, kata jurucakap UNICEF kepada AFP.

Menteri Kesihatan Gaza pada Sabtu berkata, seramai 130 bayi pramatang berada dalam situasi bahaya akibat kekurangan bahan api.

Kira-kira 160 wanita bersalin setiap hari di Gaza, menurut Dana Penduduk PBB, yang menganggarkan terdapat 50,000 wanita hamil di seluruh wilayah yang mempunyai 2.4 juta penduduk.

Walaupun Israel mengatakan serangannya ditujukan kepada Hamas kerana melakukan serangan terburuk terhadap Israel sejak penubuhannya pada 1948, kanak-kanak adalah sebahagian besar daripada 4,385 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 10:45 PM