Peserta demonstrasi membawa poster menggesa serangan di Gaza dihentikan. - FOTO AFP
Peserta demonstrasi membawa poster menggesa serangan di Gaza dihentikan. - FOTO AFP
Bernama-Anadolu

Ankara/Baitulmaqdis: Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat berkata pihaknya memerlukan sebanyak 160,000 liter bahan api setiap hari untuk menjalankan operasi pentingnya di Semenanjung Gaza.

Awal minggu ini, UNRWA mengeluarkan amaran untuk menggantung operasinya di Gaza dalam tempoh 48 jam kerana kekurangan meruncing bahan api, lapor Agensi Anadolu.

Semasa Israel menghalang kemasukan bahan api ke Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober UNRWA pada Rabu menerima kuantiti 25,000 liter bahan api melalui lintasan sempadan Rafah dari Mesir untuk operasinya.

UNRWA memainkan peranan penting sebagai agensi utama PBB yang beroperasi di Semenanjung Gaza, menyediakan perlindungan kepada kira-kira 830,000 rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di sekolah-sekolahnya di seluruh Gaza.

Agensi itu juga menawarkan tempat berlindung buat penduduk daripada serangan Israel.

Agensi PBB itu menggantung operasinya di Bandaraya Gaza dan kawasan di utara sementara ia beroperasi di bahagian selatan wilayah berkenaan yang diserang hebat Israel.

Sementara itu, Israel pada Jumaat bersetuju untuk kali pertama sejak tercetusnya konflik untuk membenarkan penghantaran bahan api setiap hari ke Semenanjung Gaza untuk mencegah penularan wabak apabila hospital-hospital ditutup kerana kekurangan bahan api.

"Sebagai reaksi kepada permintaan Amerika Syarikat, kabinet Israel sebulat suara meluluskan kemasukan dua lori tangki membawa bahan api diesel setiap hari untuk keperluan PBB bagi menyokong infrastruktur air dan kumbahan," kata seorang sumber Israel dalam satu kenyataan.

Membenarkan bahan api masuk akan memberikan sokongan minimum kepada sistem air, kumbahan dan kebersihan Gaza, bertujuan untuk mencegah wabak, kata sumber itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 1:02 PM