ASAP menyelubungi udara Gaza dari sempadan Israel. FOTO Reuters
ASAP menyelubungi udara Gaza dari sempadan Israel. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel mengumumkan pada Isnin, satu operasi sedang dilakukan di Hospital Al-Shifa di Gaza, selepas mendakwa kompleks itu digunakan pemimpin kanan pejuang Hamas.

"Tentera sedang melakukan operasi 'tepat' di kawasan hospital Al-Shifa.

"Operasi dilakukan susulan maklumat risikan yang menunjukkan penggunaan hospital oleh pejuang kanan Hamas," menurut kenyataan pasukan tentera.

Al-Shifa ialah hospital terbesar di Semenanjung Gaza.

November tahun lalu, tentera Israel melakukan operasi di kompleks itu, yang mencetuskan bantahan antarabangsa.

Saksi di Bandar Gaza memberitahu AFP bahawa kejiranan Al-Rimal, lokasi terletaknya Al-Shifa sudah diserang melalui udara,

Katanya, kereta kebal juga mengepung kompleks Al-Shifa.

Israel berulang kali menuduh Hamas menjalankan operasi ketenteraan dari hospital itu dan pusat perubatan lain, namun dakwaan itu dinafikan pejuang Hamas.

Peperangan bermula apabila Hamas melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Gaza pada 7 Oktober yang mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan angka rasmi AFP.

Bersumpah untuk memusnahkan Hamas, Israel sudah melakukan pengeboman tanpa henti dan serangan darat dan membunuh sekurang-kurangnya 31,645 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 11:06 AM