ASAP tebal susulan serangan Israel di Hospital Al-Shifa, semalam. FOTO Reuters
ASAP tebal susulan serangan Israel di Hospital Al-Shifa, semalam. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Tentera Israel merampas ubat, oksigen dan makanan pesakit hingga menyebabkan 13 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Al-Shifa di sini, meninggal dunia, lapor Agensi Anadolu.

Pejabat Media Kerajaan yang berpangkalan di Gaza berkata, tentera Israel sengaja bertindak sedemikian dengan niat mahu membunuh.

"Tentera Israel sengaja membunuh 13 pesakit dengan menafikan hak mereka untuk mendapatkan ubat, garam, elektrik dan oksigen sejak mereka menduduki hospital (itu) untuk hari keempat berturut-turut," katanya.

Kenyataan itu menyebut bahawa terdapat 22 pesakit termasuk 13 yang disahkan meninggal dunia di ICU hospital itu, terdiri daripada mereka yang memerlukan rawatan perubatan khusus.

"Terdapat pesakit dan orang yang cedera di dalam Hospital Al-Shifa yang lukanya sudah reput kerana kekurangan doktor, jururawat dan pembalut luka," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menyatakan Amerika Syarikat, masyarakat antarabangsa dan Israel bertanggungjawab atas jenayah ini terhadap pesakit, kakitangan perubatan dan rakyat Palestin.

Serangan tentera Israel ke Hospital Al-Shifa berterusan selama empat hari berturut-turut dengan membahayakan nyawa lebih 7,000 pesakit dan orang yang dipindahkan.

Sejak serangan berterusan pada 7 Oktober tahun lalu, hampir 32,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh di Gaza, dan hampir 74,200 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Perang Israel, kini memasuki bulan kelima hingga mendorong 85 peratus penduduk Gaza berpindah di tengah-tengah sekatan yang melumpuhkan kebanyakan makanan, air bersih, dan ubatan, manakala 60 peratus daripada infrastruktur wilayah itu, rosak atau musnah.

Dalam pada itu, AFP melaporkan Israel sebelum ini mengumumkan ia melancarkan operasi ke atas sebuah hospital di Gaza yang menyasarkan pemimpin kanan Hamas.

Saksi melaporkan serangan udara dan kereta kebal berhampiran kompleks yang luas dan sesak dengan pesakit Palestin dan penduduk yang mencari perlindungan.

Imej AFP menunjukkan asap hitam berkepul-kepul dari kawasan di sekitar hospital, dengan penduduk Palestin melarikan diri di sepanjang jalan yang dipenuhi runtuhan, ketika yang lain merawat mangsa cedera di jalan.

Sejak pertempuran bermula di Gaza pada Oktober, beribu-ribu orang mencari perlindungan di Hospital Al-Shifa, menurut saksi yang ditemuramah oleh AFP.

Israel berulang kali mengatakan kompleks itu menempatkan pangkalan bawah tanah Hamas, tetapi ia dinafikan oleh kumpulan pejuang berkenaan.

Tentera Israel sebelum ini menyerbu Hospital Al-Shifa pada November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:13 PM