Bayi yang baru lahir diletakkan di atas katil selepas dikeluarkan inkubator di Hospital Al Shifa Gaza selepas bekalan elektrik terputus, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas. FOTO diperoleh REUTERS daripada pihak ketiga
Bayi yang baru lahir diletakkan di atas katil selepas dikeluarkan inkubator di Hospital Al Shifa Gaza selepas bekalan elektrik terputus, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas. FOTO diperoleh REUTERS daripada pihak ketiga
Agensi

Baitulmaqdis: Serangan dan kepungan berterusan tentera Israel di pusat perubatan utama Gaza, Hospital Al Shifa menyebabkan kemudahan itu tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana kehabisan bekalan elektrik dan bahan api.

Pengarah Hospital al-Shifa Muhammad Abu Salmiya berkata, ribuan pegawai perubatan dan pesakit terperangkap tanpa bekalan elektrik.

Katanya, dua pesakit unit rawatan rapi (ICU) meninggal dunia akibat kekurangan bekalan elektrik, bahan api dan oksigen.

"Kekurangan bahan api berterusan akan turut memberi risiko kepada pesakit.

"Jika keadaan bencana ini berterusan, semua pesakit ICU akan mati," katanya kepada saluran berita Arab.

Seorang saksi yang berada dalam Hospital Al-Shifa memberitahu agensi berita AFP, pertempuran ganas berlaku di sekitar hospital sepanjang malam Sabtu.

Pakar bedah Doktor Tanpa Sempadan, Mohammed Obeid dalam mesej audio yang disiarkan di media sosial berkata, dua bayi daripada kira-kira 40 bayi di unit neonatal al-Shifa meninggal dunia selepas bekalan elektrik ke inkubator mereka habis.

Katanya, seorang lelaki juga meninggal dunia apabila alat bantuan pernafasannya terputus.

Sementara itu, doktor di hospital Nasser di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, Mohammad Qandil berkata, Hospital Al-Shifa kini tidak berfungsi, tiada sesiapa dibenarkan masuk dan keluar.

"Jika anda cedera di sekitar kawasan Gaza anda tidak boleh dipindahkan dengan ambulans kami ke Hospital Al-Shifa kerana hospital itu kini tidak beroperasi," katanya kepada Reuters.

Hospital Al- Shifa itu dikepung dan diserang Israel yang mendakwa kemudahan itu digunakan untuk operasi pejuang Hamas.

Bagaimanapun, Israel gagal membuktikannya dengan Hamas menafikan dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 9:34 AM