MOHAMMAD Abu Salmiya. FOTO AFP
MOHAMMAD Abu Salmiya. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat menyuarakan kebimbangan mengenai nasib ketua Hospital Al-Shifa, Gaza, yang ditahan tentera Israel atas dakwaan kemudahan itu digunakan oleh Hamas.

Dalam satu kenyataan WHO berkata, ketua hospital terbesar di wilayah Palestin yang terkepung itu ditangkap pada Rabu bersama lima pekerja kesihatan lain, ketika mereka mengambil bahagian dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memindahkan pesakit.

"Tiga kakitangan perubatan dari Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan tiga daripada Kementerian Kesihatan, ditahan," kata WHO.

Sejak itu dua daripada enam dilaporkan dibebaskan, tetapi "kami tidak mempunyai maklumat mengenai kesejahteraan empat kakitangan kesihatan yang tinggal, termasuk pengarah Hospital Al-Shifa," tambah kenyataan itu.

Agensi PBB menggesa "hak undang-undang dan asasi manusia mereka dipatuhi sepenuhnya semasa penahanan mereka."

Pengarah hospital, Mohammad Abu Salmiya sering dipetik media antarabangsa mengenai keadaan di dalam Hospital Al-Shifa, tumpuan utama serangan darat Israel berikutan serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober.

Tentera Israel, yang menyerbu hospital minggu lalu, mendakwa pejuang Hamas menggunakan kompleks terowong di bawah kemudahan di Bandar Gaza untuk melancarkan serangan.

Hamas dan pegawai hospital berulang kali menafikan dakwaan itu.

Pada Khamis, tentera Israel mengumumkan menangkap ketua hospital itu, bersama seorang ketua jabatan.

Menurut kenyataan WHO, organisasi itu menjalankan tiga misi ke Hospital Al-Shifa dalam tempoh seminggu, sekali gus berjaya memindahkan 31 bayi dari hospital.

Semasa misi ketiga, pada Rabu, yang dijalankan dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Palestin, 151 orang dipindahkan, termasuk pesakit, saudara-mara mereka dan pekerja penjagaan kesihatan, menurut WHO.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 9:57 AM