GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Bernama-Xinhua

New York: Lebih dua juta kanak-kanak di Sudan dipaksa keluar dari rumah mereka dalam tempoh empat bulan konflik di Sudan, kata Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) pada Khamis.

Hampir 14 juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan yang mendesak. Ramai daripada mereka berdepan pelbagai ancaman dan pengalaman menakutkan setiap hari, kata agensi kanak-kanak itu, menurut Xinhua.

"Selain daripada kawasan panas konflik seperti Darfur dan Khartoum, pertempuran sengit kini telah merebak ke kawasan berpenduduk lain, termasuk di Kordofan Selatan dan Barat mengehadkan penghantaran dan akses perkhidmatan menyelamatkan nyawa bagi mereka yang memerlukan segera," kata Unicef.

Agensi itu menjangkakan 20.3 juta orang akan berdepan isu ketidakcukupan makanan bulan depan, sekurang-kurangnya separuh daripada mereka adalah kanak-kanak.

"Ini bermakna lebih 10 juta kanak-kanak berkemungkinan mengurangkan kuantiti atau kualiti makanan yang mereka makan untuk terus hidup," kata Unicef. "Dalam banyak kes, keluarga akan dipaksa untuk melakukan kedua-duanya."

Agensi itu berkata lebih daripada 9.4 juta kanak-kanak di Sudan kekurangan akses kepada air minuman yang selamat manakala 3.4 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun berisiko tinggi mendapat penyakit cirit-birit dan taun.

Di wilayah Khartoum, Darfur dan Kordofan, kurang daripada satu pertiga daripada kemudahan kesihatan berfungsi sepenuhnya, kata Unicef.

Pergolakan dan perpindahan juga menghalang pesakit dan pekerja kesihatan daripada sampai ke hospital dan kemudahan kesihatan lain, dengan kebanyakannya dilaporkan diserang dan dimusnahkan.

Agensi itu berkata ia telah menyediakan kesihatan; pemakanan; air, sanitasi dan kebersihan; pendidikan; dan perkhidmatan perlindungan kepada lebih 4 juta kanak-kanak, ibu dan keluarga di seluruh Sudan.

Dalam tempoh 100 hari akan datang, ia memerlukan US$400 juta dengan segera untuk mengekalkan dan meningkatkan tindak balas krisisnya untuk menyokong kanak-kanak yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 4:17 PM