GAMBAR fail akibat pertempuran di Khartoum, Sudan pada 26 April lalu. FOTO Reuters
GAMBAR fail akibat pertempuran di Khartoum, Sudan pada 26 April lalu. FOTO Reuters
Bernama-Xinhua

Khartoum: Pertempuran sengit meletus antara Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum ibu negara Sudan pada Selasa, menjelang Aidiladha, lapor Xinhua.

Bunyi tembakan artileri dan senapang kedengaran di beberapa bahagian di Khartoum, menurut saksi tempatan selepas komander RSF Mohamed Hamdan Dagalo dalam rakaman suara yang disiarkan di Facebook pada Isnin mengumumkan "gencatan senjata unilateral" selama dua hari menjelang perayaan itu.

Konflik bersenjata di Sudan setakat ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda sejak bermula pada 15 April walaupun perjanjian gencatan senjata dicapai antara pihak yang bertelagah sejak 10 minggu lepas.

Selain menyebabkan kerosakan harta benda dan rompakan di Khartoum, dengan misi diplomatik asing turut menjadi sasaran, konflik itu juga menyebabkan kekacauan di bahagian lain khususnya di Darfur.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) menggesa tindakan segera diambil bagi menghentikan pembunuhan orang awam yang melarikan diri dari El Geneina, ibu negeri Darfur Barat.

Menurut Pertubuhan Doktor Sudan, militia bersenjata membunuh lebih 1,000 orang di El Geneina.

Kira-kira 2.5 juta orang kehilangan tempat tinggal di dalam dan luar Sudan sejak konflik bermula, menurut angka yang dikeluarkan oleh OHCHR minggu lalu.

Sementara itu, RSF Sudan pada Selasa mengumumkan pembebasan 100 tawanan tentera sebelum cuti Aidiladha walaupun pertempuran berterusan di Khartoum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 4:42 PM