Gambar hiasan
Gambar hiasan
Reuters

LONDON: Lebih 20 juta kanak-kanak tidak menerima vaksin campak setiap tahun di seluruh dunia sejak lapan tahun lalu, membuka laluan kepada virus terdedah yang kini berlakunya penularan penyakit, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

“Virus campak akan selalu menjangkiti kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan vaksin. Penularan campak global yang kita saksikan hari ini, berlaku beberapa tahun lalu,” kata pengarah eksekutif UNICEF, Henrietta Fore.

Laporan UNICEF menganggarkan 169 juta kanak-kanak tidak mendapat dos pertama vaksin campak antara 2010 dan 2017, menyamai 21.1 juta setahun secara purata.

Disebabkan pendedahan ketara kepada penyakit itu, jangkitan campak di seluruh dunia meningkat hampir empat kali ganda pada suku pertama 2019 berbanding tempoh sama pada 2018 kepada 112,163 kes, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada 2017, kira-kira 110,000 orang, kebanyakannya kanak-kanak, meninggal dunia akibat campak, meningkat 22 peratus daripada tahun sebelumnya, kata UNICEF.

Campak adalah penyakit berjangkit, boleh membunuh dan menyebabkan buta, pekak atau kerosakan otak.

Ia menular di kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Filipina dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 11:09 AM