FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Washington: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara 25 tahun kerana membunuh banduan lain iaitu seorang pesalah seks yang sebelum ini pernah merogol adiknya.

Shane Goldsby, 26, dijatuhkan hukuman itu selepas dia memukul hingga mati rakan satu selnya itu, Robert Munger, 70, Jun tahun lalu.

New York Post melaporkan Munger menjalani hukuman penjara 43 tahun kerana jenayah seks kanak-kanak.

Goldsby berkata, dia tersentak selepas Munger mulai memperincikan mengenai kejadian rogol adiknya itu.

"Banyak yang bermain di fikiran saya. Saya tidak stabil ketika itu.

"Saya sampai ke tahap itu (bunuh) kerana dia terus memberikan saya perincian mengenai apa yang berlaku, apa yang dia lakukan dan ia semakin menjadi-jadi," katanya.

Menurut dokumen mahkamah, Goldsby menyerang Munger dari belakang di kawasan penjara.

Dia memukulnya di muka 14 kali, kemudian memijak kepalanya sekurang-kurangnya empat kali sebelum berlalu pergi.

Lelaki meminta maaf kepada keluarga Munger, lapor KHQ.

"Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kehilangan orang yang dikasihi dengan cara seperti ini.

"Kepada isteri dan seluruh keluarganya, saya minta maaf.

"Saya sangat menyesal dan saya harap anda dapat pulih dari apa yang saya lakukan," katanya dalam kenyataan itu.

Goldsby menjalani hukuman di penjara pada tahun 2017, di mana dia mencuri kenderaan polis.

Dalam kejadian itu, dia terbabit dikejar polis sebelum ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 6:50 AM