Sepang: Bekas perogol bersiri, Selva Kumar Subbiah bebas menetap di mana-mana tempat dalam negara ini tanpa perlu melaporkan diri di balai polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebagai bekas banduan yang sudah dibebaskan, Selva, 56, yang berasal dari Pulau Pinang, bebas untuk bergerak seperti rakyat Malaysia lain.

Katanya, pihak polis sudah memaklumkan kepulangan Selva kepada pihak berkuasa Kanada.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi berkata, pihaknya turut mengambil butiran peribadi lelaki itu termasuk lokasi dia akan menetap sama ada di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang.

“(Bagaimanapun) Buat masa ini, dia (Selva) belum mengesahkan sama ada akan menetap di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang,” katanya.

Difahamkan, keterangan itu direkodkan sepasukan pegawai dari Bahagian Jenayah Seksual (D11) Bukit Aman selama hampir tiga jam sejurus Selva tiba di KLIA, kira-kira jam 7.30 pagi.

Selva tiba di Malaysia kira-kira jam 7.30 pagi menerusi pesawat Qatar Airways QR844 dari Doha, Qatar, selepas menghabiskan hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada atas sabitan pelbagai jenayah seks dan peras ugut membabitkan berpuluh-puluh wanita.

Sementara itu, kenalan keluarga Selva yang ditemui di KLIA memaklumkan Selva tidak berniat pulang ke Pulau Pinang, sebaliknya akan menetap di Kuala Lumpur.

Katanya, abang Selva hadir di KLIA untuk membawa adiknya pulang dan dia dijangka melawat ibunya yang sakit dan menetap di Sungai Buloh, Selangor.

Mengikut laporan, Selva menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada selepas didapati bersalah melakukan jenayah seksual termasuk 19 serangan seks dan 24 membabitkan dadah sebelum dibebaskan pada 29 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:09 AM
SEBAHAGIAN daripada wartawan dan jurugambar pelbagai agensi menunggu ketibaan Selva di KLIA.
SEBAHAGIAN daripada wartawan dan jurugambar pelbagai agensi menunggu ketibaan Selva di KLIA.