SEBAHAGIAN banduan yang terpilih bertemu keluarga ketika meraikan program Jalinan Kasih Penjara Kajang. FOTO Hazreen Mohamad
SEBAHAGIAN banduan yang terpilih bertemu keluarga ketika meraikan program Jalinan Kasih Penjara Kajang. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: "Saya harap pertemuan dengan ahli keluarga hari ini adalah pertemuan bersemuka terakhir kami di dalam penjara," kata banduan Penjara Kajang yang hanya mahu dikenali sebagai Raj, 26.

Dia adalah antara 36 banduan yang terpilih untuk menyertai Program Jalinan Kasih Sempena Deepavali di Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Raj yang juga banduan Tahanan Limpah Sultan (LTS) berkata, dia ada membuat beberapa permohonan untuk dibebaskan selepas menjalani kira-kira sembilan tahun hukuman penjara sejak ditahan pada 2014 atas kesalahan membunuh.

"Saya ditahan di penjara ini sudah sembilan tahun, ketika saya masih berusia 17 tahun. Saya ada mengemukakan beberapa permohonan untuk dibebaskan dari penjara.

"Besar harapan saya untuk bebas kerana saya selalu sedih memikirkan keadaan ini (berada dalam penjara)," katanya ketika ditemui di Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Dia rasa bersyukur apabila ahli keluarga sentiasa memberikan sokongan kepadanya dengan sering melawatnya setiap bulan.

"Hari ini saya berpeluang untuk meluangkan masa beberapa jam untuk bertemu ibu dan adik-beradik yang tidak pernah putus-putus memberikan sokongan dari dulu lagi.

"Saya rasa bertuah kerana ada ahli keluarga yang banyak memberi sokongan menyebabkan saya mahu bebas segera," katanya.

Sementara itu, ibu Raj berusia 53 tahun berkata, dia gembira diberi peluang untuk bertemu anak sulungnya itu secara bersemuka menerusi program berkenaan.

"Saya gembira dapat jumpa dia secara berdepan tetapi juga sedih sebab kami hanya boleh bertemu beberapa jam sahaja.

"Setiap bulan, saya tidak pernah ketinggalan untuk melawatnya di sini (Penjara Kajang) kerana saya mahu dia tahu bahawa kami sentiasa memberikan sokongan kepadanya," katanya.

Seorang lagi banduan terpilih menyertai program berkenaan, Siraj, 39, berkata, program berkenaan memberi peluang untuknya bertemu ahli keluarga secara bersemuka.

"Ini kali pertama saya terpilih untuk menyertai program ini sejak ditempatkan di Penjara Kajang sejak 2019 atas kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Menerusi program ini, saya dapat bertemu tiga adik perempuan yang sering melawat saya di penjara ini," katanya yang juga banduan akhir.

Salah seorang adik Siraj berusia 29, berkata, kebiasaannya dia bertemu dengan abangnya itu menerusi interkom di ruang pelawat disediakan.

"Hari ini saya rasakan istimewa kerana dapat bersemuka yang membolehkan kami boleh peluk, cium dan pegang tangannya.

"Dengan peluang pertemuan seumpama ini, saya boleh bercerita mengenai keadaan dan apa saja cerita dalam keluarga kami.

"Kami sekeluarga selalu memberikan sokongan kepadanya dan besar harapan kami supaya dia dibebaskan nanti sekiranya diberikan pengurangan hukuman," katanya.

- ends

#kw banduan, LTS, banduan akhir, Program Jalinan Kasih, Deepavali, Penjara Kajang, Kajang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 3:22 PM