WAN Mohd Azman mencium pipi ayahnya selepas dibebaskan selepas selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan mengedar dadah pada 1999.  FOTO Nurul Fatihah Sulaini
WAN Mohd Azman mencium pipi ayahnya selepas dibebaskan selepas selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan mengedar dadah pada 1999. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: "Sepanjang tempoh 24 tahun menjalani hukuman penjara, saya berjaya khatam al-Quran sebanyak 120 kali," kata bekas banduan akhir, Wan Mohd Azman Hassan@Wan Ali, 50.

Azman berkata, dia tidak pernah menaruh harapan akan diberi peluang kedua untuk meneruskan hidup selepas mahkamah menjatuhkan hukuman gantung atas kesalahan mengedar ganja pada 1999.

Katanya, sebagai banduan akhir sebelum ini, dia mengambil langkah khatam al-Quran setiap bulan dengan menjadikan rutin mengaji sebagai kewajipan setiap kali selesai solat fardu atau selepas solat sunat dhuha.

"Kebanyakan waktu saya dihabiskan dengan mengaji serta membaca buku, selain beriadah pada waktu pagi serta petang termasuk mengikuti kelas keagamaan," katanya ditemui di rumah keluarganya di Kampung Gong Kemuntong di sini, semalam.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati dan penjara sepanjang hayat ke atas 11 banduan termasuk dirinya yang disabitkan kesalahan mengedar dadah mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, diibaratkan seperti diberi nyawa kedua untuk hidup apabila dibebaskan dari penjara.

Azman anak kedua daripada empat beradik berkata, selepas dibebaskan kelmarin, dia sekeluarga terus bergerak pulang dan tiba di Besut pagi semalam.

"Saya sendiri tidak menyangka hukuman gantung ditukar kepada penjara, sekali gus membolehkan saya dibebaskan.

"Jika diikutkan sepanjang tempoh dihukum, saya beberapa kali berpindah penjara antaranya Penjara Marang Terengganu, Penjara Pengkalan Chepa Kelantan, Penjara Tapah Perak, Penjara Bentong Pahang, Penjara Machang, Kelantan dan kembali semula ke Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan," katanya.

Dia bersyukur kerana keluarga tetap menerimanya walaupun sudah lama berada dalam penjara.

"Harapan saya adalah untuk terus menghabiskan masa serta berbakti kepada keluarga yang banyak berkorban untuk saya selama ini.

"Saya anggap ini ujian serta dugaan hidup. Saya perlu ditempuhi dengan reda setiap ujian yang berlaku," katanya.

Katanya, dia juga berharap generasi muda lebih berhati-hati memilih rakan berikutan bimbang kesilapan dilakukannya dahulu boleh terjadi kepada individu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 6:46 AM