TONGTONG dilihat baring di lantai dengan gurunya menolak sebelah kakinya.
TONGTONG dilihat baring di lantai dengan gurunya menolak sebelah kakinya.
Agensi

BEIJING: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun mungkin lumpuh selamanya selepas saraf tunjangnya cedera berikutan dipaksa membuat ‘split’ oleh guru tariannya.

Kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Tongtong itu cedera bahagian bawah badannya ketika mengikuti kelas menari di Henan pada 6 Oktober lalu.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Tongtong dilihat baring di lantai dengan gurunya menolak sebelah kakinya hingga menyentuh kepalanya.

Pada mulanya, kanak-kanak itu boleh berjalan selepas meregangkan kakinya.

Namun dia kemudian dilihat berjalan terdengkot-dengkot ke arah pelajar lain, lapor Asia One.

Tidak lama selepas itu, Tongtong cuba berdiri beberapa kali tetapi gagal malah kakinya tidak dapat digerakkan langsung.

Melihat keadaan Tongtong, gurunya bergegas membantu, namun dia tetap sukar berdiri.

South China Morning Post melaporkan kanak-kanak itu dibenarkan berehat seketika sebelum diarahkan menyertai semula kelas.

Apabila bapanya datang menjemputnya pada akhir kelas, Tongtong mengadu sakit malah tidak merasa apa-apa pada kakinya.

Ibu Tongtong, Li berkata, doktor memberitahu kemungkinan besar anaknya akan lumpuh seumur hidup.

Menurut Li, anaknya mungkin cedera ringan ketika membuat latihan melentik badan ke belakang dan kecederaannya semakin teruk selepas melakukan split.

Sementara itu, jurucakap akademi menari dikenali sebagai Wang berpendapat Tongtong mungkin mempunyai masalah kesihatan yang tidak diketahui.

Li mendakwa akademi itu berhenti melawat anaknya dan enggan menerima panggilannya selepas mendapat tahu anaknya tidak akan kembali sihat seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 8:28 AM