BERNAMA

Kuala Lumpur: Ibu bapa kanak-kanak yang kehilangan sebahagian kakinya akibat tersepit pada esklator, menasihati ibu bapa lain agar sentiasa mengawasi anak-anak mereka ketika menggunakan eskalator.

Nasaruddin Idris, 40, bapa Dzil Mikhail, 4, yang kehilangan sebahagian kaki kirinya dalam kejadian di KL Sentral Isnin lalu, berkata ibu bapa tidak boleh memandang ringan ketika anak-anak menaiki eskalator.

Menceritakan detik malang itu, ibu kepada kanak-kanak berkenaan, Nahzatulsyima Mustaffa, 31, berkata kejadian itu berlaku sangat pantas.

"Saya sangka hanya seluar Mika (nama panggilan anaknya) yang tersangkut, tetapi bila lihat kaki dia yang tersangkut, saya lalu menjerit memanggil suami ," katanya selepas menerima lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Nahzatulsyima berkata suaminya yang ketika itu berada tidak jauh dari situ segera datang dan menarik anaknya dari eskalator yang masih bergerak.

Sementara itu, Rohani berkata, kementeriannya mencadang beberapa ciri keselamatan tambahan eskalator dipertingkat, termasuk penampan antara dinding eskalator dengan tangga besi.

Katanya, pihak terbabit juga bertanggungjawab menyediakan notis keselamatan untuk mengingatkan ibu bapa dan pengguna mengenai keselamatan

menggunakan eskalator.

Mengenai kejadian itu, Rohani berkata pihaknya menunggu laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang menyiasat kes berkenaan bagi mengetahui punca kejadian.

Beliau berkata, kementeriannya akan memberi bantuan sewajarnya termasuk sesi kaunseling kepada Dzil Mikhail dan ibu bapanya.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata, Dzil Mikhail akan menjalani cantuman kulit selepas lukanya sembuh.

"Kanak-kanak itu juga akan menjalani sesi rehabilisasi dan fisioterapi untuk rawatan susulan," katanya.

Beliau berkata rawatan berkenaan akan bersifat jangka panjang sehingga Dzil Mikhail boleh berjalan dengan stabil walaupun bakal terdapat kekurangan pada kakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 9:36 PM
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kiri) menziarah Dzil Mikhail Nasaruddin, 3, di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, hari ini yang ditemani ibunya Nahzatul Syima Mustafa (kanan) dan bapanya Nasaruddin Mohd Idris. - Foto ZULFADHLI ZULKIFLI
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kiri) menziarah Dzil Mikhail Nasaruddin, 3, di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, hari ini yang ditemani ibunya Nahzatul Syima Mustafa (kanan) dan bapanya Nasaruddin Mohd Idris. - Foto ZULFADHLI ZULKIFLI