AHMAD Shabery (dua dari kiri), Ahmad Fadil (tengah) dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) ketika pelancaran produk berkenaan.
AHMAD Shabery (dua dari kiri), Ahmad Fadil (tengah) dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) ketika pelancaran produk berkenaan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: FGV Holdings Berhad (FGV) meluaskan lagi kehadirannya di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (Mena) melalui dua produk makanan baharu di bawah jenama Saji iaitu Krimer Pekat Manis Saji dan Krimer Sejat Saji.

Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, pihaknya berbesar hati memperkenalkan Krimer Pekat Manis Saji dan Krimer Sejat Saji untuk pasaran Mena.

Katanya, kedua-dua produk ini adalah hasil daripada gabungan bahan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan pengguna masa kini.

"Di rantau Mena yang segala-galanya serba pantas, produk ini mudah untuk digunakan bagi penyediaan hidangan serta minuman, bersesuaian dengan gaya hidup pengguna.

"Ini adalah produk kedua dan ketiga keluaran FGV selepas kami melancarkan marjerin Adela pada Gulfood tahun lalu.

"Kami yakin produk kami akan menerima sambutan yang baik di rantau ini, sekali gus mengukuhkan kehadiran FGV sebagai syarikat makanan yang dipercayai di pasaran luar negara," katanya dalam kenyataan.

FGV turut memperkenalkan pilihan tanpa gula, Krimer Sejat Saji yang boleh didapati dalam pek 170 gram (g) dan 380 g.

Produk ini menambah tekstur yang lebih berkrim untuk minuman seperti kopi, teh dan coklat panas serta mampu menambah kelazatan hidangan.

Kedua-dua produk ini menawarkan jangka hayat yang lebih lama, tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk, menjadikannya barangan keperluan dapur yang senang untuk digunakan.

FGV berkata, produk itu bukan sekadar untuk penyediaan minuman, malah ia boleh digunakan dalam pelbagai resipi masakan seperti pencuci mulut, kek, roti serta hidangan lauk.

Majlis pelancaran kedua–dua produk terbabit diadakan di Gulfood 2024, ekspo makanan terbesar di dunia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Dubai pada 19 hingga 23 Februari.

Ia disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 10:24 AM