MINYAK Gorengan Premeo.
MINYAK Gorengan Premeo.

FGV Holdings Bhd (FGV) menerusi anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd memperkenalkan tiga produk industri baharu yang berasaskan tumbuhan di bawah jenama Premeo.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pengenalan produk berkenaan sejajar sasaran untuk memperluas segmen hilirannya menerusi produk nilai tambah ke rantau Asia Pasifik.

"Tiga produk itu adalah Gantian Lelemak Haiwan Premeo, Gantian Lelemak Tenusu Premeo dan Minyak Gorengan Premeo.

"Produk terbabit diformulasikan sebagai gantian lelemak berasaskan tumbuhan yang sihat bagi pengeluar makanan serta untuk kegunaan industri yang kerap menggunakan gorengan seperti restoran perkhidmatan segera," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, menerusi produk baru Premeo, pengeluar makanan akan dapat menawarkan produk bergred tinggi dengan pelbagai manfaat kesihatan seperti bebas dari kandungan patogen dan mikro perosak.

"Kumpulan menyedari terdapat peningkatan minat dan kecenderungan pengguna terhadap sumber makanan lestari dan berasaskan tumbuhan yang didorong oleh perubahan diet pengguna.

"Gantian lelemak FGV membekalkan fungsi dan tekstur yang sama seperti lelemak tenusu dan haiwan, selain menambahkan lagi khasiat pemakanan pada harga yang berpatutan.

"Bagi minyak gorengan premium pula, ia terbukti mampu menggoreng dengan lebih lama dan ini memberikan lebih nilai kepada pelanggan serta menghasilkan gorengan yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dibangunkan menerusi penyelidikan secara khusus di Pusat Inovasi FGV di Nilai, Negeri Sembilan, lelemak dan minyak khas kumpulan ini katanya, menawarkan pilihan kepada pelanggan industri iaitu bebas daripada kandungan kolesterol secara semulajadi, kaya dengan vitamin E serta tidak mengandungi lelemak tepu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 7:15 AM