MOHD Isa (tengah) melancarkan produk Krimer Coklat dan Krimer Bandung SAJI.
MOHD Isa (tengah) melancarkan produk Krimer Coklat dan Krimer Bandung SAJI.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd (Delima Oil) melancarkan produk inovatif terbaru iaitu Krimer Coklat dan Krimer Bandung di bawah jenama SAJI.

Ketua Kluster Hiliran FGV, Azman Ahmad berkata, Delima Oil meningkatkan usaha dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mempelbagaikan produk dalam usaha mengukuhkan perniagaan hiliran.

“Delima Oil akan terus mempelbagaikan produk bagi memenuhi permintaan pengguna dan dalam masa sama mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri barangan pengguna laris (FMCG) berasaskan sawit.

“Tahun 2016 adalah tahun pertumbuhan perniagaan hiliran FGV. Delima Oil adalah sebahagian daripada perniagaan hiliran kumpulan dan pelancaran produk baru ini akan membantu mengukuhkan kedudukan kami sebagai konglomerat perniagaan agro,” katanya selepas pelancaran di sini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad.

Krimer Coklat SAJI dan Krimer Bandung SAJI boleh dijadikan campuran dalam minuman selain digunakan sebagai tambahan kepada ais krim, pisang goreng dan air batu campur. Kedua-dua produk ini dijual pada harga berharga RM2.80 setin untuk saiz 380 gram.

Menurutnya, Delima Oil ketika ini memiliki beberapa jenama di bawahnya antaranya SAJI, Adela, SunBear dan Seri Pelangi dengan lebih 50 produk dihasilkan.

SAJI adalah jenama susu krimer pertama di pasaran yang memperkenalkan dua variasi perasa berkenaan sekali gus meningkatkan imej jenamanya di kalangan pengguna. Jenama ini mula memasuki pasaran krimer tempatan sejak 2010 dengan produk Krimer Pekat SAJI dan Krimer Sejat SAJI.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 8:38 AM