AL-Sultan Abdullah ketika merasmikan pembukaan BPS di Central London.
AL-Sultan Abdullah ketika merasmikan pembukaan BPS di Central London.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pembukaan hartanah ikonik pelaburan Malaysia iaitu Battersea Power Station (BPS) di Central London kepada orang awam bermula hari ini.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Zakri Jaafar.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Stesen Janakuasa Battersea disambut oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Arifin Zakaria, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan UK, Dominic Johnson, dan Menteri Dasar Perdagangan UK, Greg Hands.

Yang di-Pertuan Agong menyempurnakan pembukaan BPS dengan menghidupkan semula kuasa secara simbolik di Dewan Turbin A, yang tidak aktif selama lebih 40 tahun dan kini akan menempatkan sebahagian daripada pusat beli-belah stesen janakuasa itu.

Baginda kemudiannya berkenan mencemar duli melancarkan plak memperingati lawatan, peringatan kekal akan hubungan kukuh antara Malaysia dan United Kingdom (UK).

Hampir empat dekad selepas penutupannya, mercu tanda tersenarai Gred II yang sudah dipulihkan itu akan dibuka kepada orang ramai hari ini.

Sementara itu, Zakri berkata, pembukaan semula BPS adalah bukti keupayaan Malaysia dalam melaksanakan projek pembangunan utama di UK.

"Saya yakin kita akan melihat lebih banyak usaha ini pada masa hadapan. Saya mengucapkan tahniah kepada PNB, Sime Darby Property, S P Setia dan KWSP atas segala usaha mereka dalam memulihkan dan membangunkan semula BPS.

"Ini adalah pencapaian cemerlang dan mewakili hubungan dua hala, ekonomi dan pelaburan yang erat antara Malaysia dan UK," katanya.

Pengerusi Battersea Project Holding Company (BPHC) dan Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Jagan Sabapathy, pula berkata melalui kekuatan berterusan hubungan Malaysia-UK dan pengalaman luas para pemegang saham, konsortium itu telah berjaya menghidupkan semula ikon London.

"Bukan sahaja destinasi baharu dicipta daripada usaha menghidupkan semula stesen janakuasa yang tidak digunakan itu, malah komuniti yang berkembang maju telah pun wujud sejak pembukaan fasa pertama projek berkenaan, Circus West Village," jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, transformasi yang dahulunya stesen janakuasa arang batu kepada destinasi kediaman, runcit dan percutian/riadah holistik yang juga mampu membekalkan tenaga mampan menandakan ia satu pencapaian penting dalam sejarah pembangunan hartanah London.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 7:00 AM