FASA kedua projek pembangunan bercampur Stesen Janakuasa Battersea dijangka dibuka pada September 2022.
FASA kedua projek pembangunan bercampur Stesen Janakuasa Battersea dijangka dibuka pada September 2022.

Kuala Lumpur: Fasa kedua projek pembangunan bercampur Stesen Janakuasa Battersea dijangka dibuka pada September 2022 menampilkan tranche pertama terdiri daripada rangkaian kafe, bar dan restoran.

Pembangunan Stesen Janakuasa Battersea dimiliki oleh konsortium pelabur Malaysia iaitu SP Setia Bhd (40 peratus), Sime Darby Property Bhd (40 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (20 peratus) manakala Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan KWSP memiliki aset komersial dalam lingkungan bangunan berkenaan.

Syarikat Pembangunan Stesen Janakuasa Battersea berkata, fasa kedua pembangunan akan menempatkan 254 pangsapuri kediaman, lebih 100 kedai runcit, restoran dan kafe, pejabat serta ruang acara unik.

Ia turut menawarkan pengalaman lif cerobong yang unik, menawarkan pemandangan panoramik 360 darjah latar langit London.

Ia menambah bahagian makanan dan minuman Stesen Janakuasa Battersea, terletak di Turbine Halls dan Boiler House yang bersejarah, dilengkapi dengan 14 cawangan di Circus West Village.

"Dewan makan seluas 20,000 kaki persegi menawarkan pengalaman menjamu selera sepanjang hari juga akan dibuka di Boiler House," kata syarikat itu.

Ketua Pajakan Sam Cotton berkata, Stesen Janakuasa Battersea telah muncul sebagai antara destinasi makanan dan minuman terkemuka di London, dan ini akan menjadi lebih kukuh dengan gabungan hebat kafe, bar dan restoran dibuka di dalam, sekali gus mewujudkan ribuan pekerjaan untuk masyarakat tempatan.

Fasa pembangunan pertama Stesen Janakuasa Battersea, Circus West Village, sudah pun menjadi kediaman kepada lebih 1,700 penduduk dengan lebih daripada 20 bar, restoran, kafe, pusat kecergasan dan riadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 7:20 AM