Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menerima persembahan taklimat mengenai perkembangan terkini projek hartanah di Stesen Janakuasa Bettersea, London hari ini. Foto Ihsan FB Istana Negara
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menerima persembahan taklimat mengenai perkembangan terkini projek hartanah di Stesen Janakuasa Bettersea, London hari ini. Foto Ihsan FB Istana Negara
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat Stesen Janakuasa Battersea di London, hari ini.

Istana Negara dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, lawatan ke projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia itu adalah antara atur cara sempena lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke United Kingdom (UK) selama 10 hari bermula 17 September lalu.

Menurut kenyataan itu, projek berkeluasan 16.99 hektar itu adalah usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 2012.

"Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada 11 pagi (waktu tempatan) disambut barisan kepimpinan Battersea Project Holding Company dan wakil kepimpinan syarikat usaha sama projek berkenaan.

"Turut mengiring baginda berdua adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Tuan Yang Terutama Zakri Jaafar," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menerima persembahan taklimat mengenai perkembangan terkini projek hartanah membabitkan nilai pembangunan kasar sejumlah 9 billion pound (kira-kira RM51 bilion).

Selain itu, katanya, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa berangkat meninjau fasa perumahan yang siap dibina dan turut berkenan mendedahkan plak peringatan bagi memperingati lawatan Baginda berdua ke projek hartanah itu.

"Atur cara lawatan khas itu turut diisi dengan lawatan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford serta pertemuan bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga dijadualkan berangkat menghadiri majlis Makan Malam Pertemuan Semula Sandhurst di Royal Military Academy Sandhurst, iaitu tempat baginda pernah menimba ilmu ketenteraan selama setahun pada 1978," katanya.

Selepas itu, Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir Jeneral Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan negara itu.

Usai lawatan khas berkenaan, Seri Paduka Baginda berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 September dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober depan," katanya.

Lawatan khas itu adalah kali kedua bagi Seri Paduka Baginda ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Lawatan khas pertama diadakan pada 9 Disember 2019 selama tujuh hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 10:51 PM