BATTERSEA Power Station  dipulihkan serta ditukar menjadi pusat beli-belah dengan 100 kedai, bar, restoran dan riadah akan dibuka untuk warga London.
BATTERSEA Power Station dipulihkan serta ditukar menjadi pusat beli-belah dengan 100 kedai, bar, restoran dan riadah akan dibuka untuk warga London.

SELEPAS tidak aktif selama beberapa dekad, Battersea Power Station yang dipulihkan serta ditukar menjadi pusat beli-belah dengan 100 kedai, bar, restoran dan riadah akan dibuka untuk warga London termasuk pelawat yang mahu meneroka mercu tanda ikonik itu.

Bangunan bersejarah itu dimiliki oleh konsortium Malaysia dengan Sime Darby Property memiliki 40 peratus, SP Setia (40 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (20 peratus) serta aset komersial dalam bangunan stesen janakuasa itu kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd dan KWSP.

Pengurusan pembangunan sedang dijalankan oleh Battersea Power Station Development Company (BPSDC) yang berpangkalan di Britain.

Battersea Power Station bernilai 9 bilion pound sterling akan dilancarkan hari ini dan ia akan dibuka kepada umum secara rasmi pada 14 Oktober.

"Bagi menandakan detik bersejarah ini, 'Festival Kuasa' selama lima hari akan berlangsung mulai 14 Oktober dengan aktiviti dan persembahan mesra keluarga percuma sebagai meraikan warisan unik bangunan itu dan sumbangannya kepada budaya British," kata BPSDC.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual merasmikan pembukaan Battersea Power Station.

Semasa lawatan khas ke United Kingdom (UK) tahun lepas, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa bangga dengan keupayaan serta kejayaan syarikat milik Malaysia dan agensi kerajaan yang menjalankan perniagaan serta pelaburan di United Kingdom.

Untuk memulakan festival lima hari itu, media Malaysia akan menjadi antara yang pertama diberi lawatan ke bangunan yang diubah suai oleh arkitek Wilkinson Eyre, yang menjadi antara firma seni bina terkemuka di dunia dengan portfolio projek pemenang anugerah yang berani, cantik dan pintar.

Antara lawatan itu termasuk lawatan komersial dan runcit BPS, KOA Residential Tour serta merasai pengalaman Lift 109, lif kaca yang unik yang dipasang dalam cerobong belah barat laut yang menawarkan pemandangan panorama epik London pada ketinggian 109 meter.

Seterusnya, mereka akan menyertai warga London yang lain untuk meraikan detik bersejarah, Festival Kuasa percuma selama lima hari yang akan berlangsung mulai Jumaat (14 Oktober) dengan program persembahan secara langsung, aktiviti mesra keluarga, pemasangan dan banyak lagi bagi meraikan detik bersejarah itu.

Festival ini akan dibuka dengan acara Lords of Lightning Arcadia, persembahan elektrik melepaskan berjuta-juta tenaga voltan daripada karektor yang berpakaian kalis elektrik pada 14 Oktober ini mulai jam 7 malam, kata Sime Darby Property dalam satu kenyataan.

Kejayaan penjanaan semula Battersea Power Station mewujudkan 20,000 pekerjaan, menjana peluang kerjaya jangka panjang untuk penduduk tempatan.
- Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:00 AM