Kamarulzaidi Kamis

London: Selepas hampir 10 tahun dibangunkan semula, Battersea Power Station (BPS) dibuka kepada orang awam hari ini dengan sasaran sehingga 26 juta pengunjung setahun.

Mercu tanda ikonik London di kawasan seluas hampir 17 hektar yang dimiliki konsortium Malaysia itu telah dimajukan semula semula sebagai sebuah bandar baharu tepi sungai Thames yang bernilai £9 bilion (RM46.48 bilion) selepas hampir 40 tahun cerobong asap gergasi dan turbinnya dihentikan.

Ia secara rasmi diisytiharkan dibuka oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada satu majlis awal pada malam Rabu menjelang pembukaan kepada awam hari ini.

Sejak 2012, BPS yang dibangunkan konsortium Sime Darby Property, SP Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi Battersea Power Station Development Company (BPSDC). Pada 2019, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan KWSP menjadi pemilik jangka panjang stesen jana kuasa itu yang mana dijangka menjamin masa depan mercu tanda itu terus unggul untuk beberapa generasi akan datang.

Menteri Pelaburan United Kingdom, Lord Johnson, berkata Battersea Power Station adalah contoh utama keupayaan positif pelaburan asing.

"Pelaburan £5 bilion setakat ini oleh konsortium Malaysia bukan sahaja telah membantu menjana semula mercu tanda ikonik London ini tetapi juga menambah baik secara besar-besaran jaringan pengangkutan di Wandsworth.

"Paling penting, pembangunan itu mewujudkan beribu-ribu pekerjaan, merentasi pembinaan, peruncitan dan hospitaliti. Ia adalah bukti nyata kepada perkongsian perdagangan dan pelaburan kami yang berkembang maju dengan Malaysia dan kepentingan perdagangan untuk mewujudkan pekerjaan dan memacu pertumbuhan," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Battersea BPSDC.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan pula berkata, sebagai warga London Selatan sepanjang hayatnya, beliau amat teruja melihat BPS yang ikonik membuka pintunya buat kali pertama dalam tempoh hampir 40 tahun sebagai yang mana menjadi lokasi utama baharu dalam landskap membeli-belah dan liburan di London yang terus berkembang pesat.

"Pembangunan semula mercu tanda Abad ke-20 London ini telah membantu menarik kemasukan pelaburan baharu, jaringan pengangkutan utama dan pekerjaan untuk penduduk tempatan.

"BPS akan memberi nafas baharu kepada London, menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan ekonomi sambil terus membina London yang lebih baik untuk semua orang," katanya.

Battersea Power Station (BPS) mula dibuka kepada orang ramai.
Battersea Power Station (BPS) mula dibuka kepada orang ramai.

Sementara itu Pengerusi Battersea Project Holding Company (BPHC), Datuk Jagan Sabapathy, berkata

"Pembukaan BPS adalah titik perubahan bagi kejiranan tepi sungai ini dan kemuncak kerja keras dan dedikasi selama sepuluh tahun.

"Membuka semula bangunan berprestij ini, yang sangat bermakna kepada warga London dan dunia, menunjukkan apa yang boleh dicapai oleh rakyat Malaysia, bekerja secara kolaboratif dengan rakan kongsi dari seluruh dunia, untuk menyampaikan projek inspirasi.

"Pencapaian ini adalah sesuatu yang membanggakan dan saya harap ramai akan datang melawat," katanya.,

Ketua Eksekutif BPSDC, Simon Murphy berkata hari ini menandakan detik bersejarah dan sambutan besar-besaran pembikaan BPS dan Electric Boulevard kepada orang ramai.

"Ramai berkata projek ini mustahil, ada yang mencuba dan gagal, namun melalui komitmen pemegang saham kami dan dengan sokongan ramai pihak berkepentingan sektor awam dan swasta di UK, kami telah berjaya menghidupkan semula BPS supaya ia boleh dinikmati untuk generasi akan datang.

"Kini, buat pertama kalinya, semua orang boleh masuk ke dalam, berinteraksi dengan seni bina yang mengagumkan dan mengalami semua yang ditawarkan oleh BPS yang dilahirkan semula ini," katanya.

Susulan pembukaan itu, pengunjung kini boleh melawat Dewan Turbin yang bersejarah dan membeli-belah susulan pembukaan ruang niaga runcit jenama terkemuka pada peringkat pertama seperti Nike, Uniqlo, Mulberry, Hugo Boss, Theory, Mango, Battersea Bookshop dan banyak lagi.

Sempena pembukaannya juga, acara 'Festival of Power' selama lima hari akan berlangsung mulai hari ini (Jumaat 14) hingga Ahad dan mulai Sabtu 22 Oktober hingga Ahad 23 Oktober ini di mana pengunjung akan menikmati aktiviti mesra keluarga, selain daripada pelbagai persembahan liburan dan kebudayaan.

Hampir empat puluh tahun selepas lampunya dipadamkan, Battersea Power Station dibuka hari ini (Jumaat), yang mana ia juga menandakan buat kali pertama orang awam dapat menikmati dan meneroka karya seni bina ikonik ini dan membeli-belah di ruang niaga, pelbagai kedai berbentuk unik, restoran dan tempat riadah.

Electric Boulevard, laluan pejalan kaki utama tapak bersejarah antara Gehry Partners' Prospect Place dan Battersea Roof Gardens Foster + Partners' hingga ke London Underground Station kawasan Zone 1 kejiranan di tebing sungai itu juga juga dibuka hari ini (Jumaat).

"Kira detik rasmi pembukaan stesen janakuasa yang tersenarai kategori hartanah Gred II* itu, akan berlangsung di Malaysia Square, sebuah dataran awam dengan diiringi persembahan daripada Koir Komuniti Battersea Power Station," kata kenyataan itu," kata kenyataan itu.

Selain itu, difahamkan sejumlah 5,000 kakitangan Apple akan berpindah masuk ke ibu pejabat London baharunya di BPS mulai awal tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 6:29 PM