JALIL dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
JALIL dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Nabil Basaruddin


PELANTIKAN Jalil Rasheed sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah melalui proses lantikan serta prosedur yang betul.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pelantikan itu juga adalah berdasarkan standard tadbir urus korporat yang tinggi, malah perkara terbabit juga dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zeti turut menafikan pelantikan itu diputuskan sepenuhnya oleh beliau.

"Perkara ini adalah tidak benar kerana kami di PNB mengamalkan proses tadbir urus yang sangat ketat dan tinggi.

"Malah, urusan lantikan ini juga membabitkan jawatankuasa pencalonan di mana ia dibincangkan dan kemudiannya diusulkan kepada lembaga, dan seterusnya kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera, yang dipengerusikan Perdana Menteri," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Galeri Pameran Merdeka 118 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyatakan tidak mengetahui mengenai pelantikan Jalil serta tidak mendapat sebarang maklumat mengenai perkara terbabit.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, Dr Mahathir pada dasarnya mengetahui mengenai pelantikan itu namun berkemungkinan beliau tidak mengetahui mengenai tempoh pengumuman berkenaan selain beliau tidak mahu menyatakannya terlebih dahulu.

Selain itu, katanya, faktor lain yang mungkin menyumbang kepada situasi itu adalah proses kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Menurutnya, PNB adalah institusi kewangan yang dikawal selia dan pelantikan pegawai kanan memerlukan kelulusan pihak SC.

Pada 28 Ogos lalu, PNB melantik Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Asia Selatan Invesco, Jalil Rasheed sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 3:28 PM