POLIS memeriksa premis hiburan menawarkan khidmat GRO di bangunan pejabat sekitar Jalan Raja Chulan, awal pagi tadi. FOTO ihsan PDRM
POLIS memeriksa premis hiburan menawarkan khidmat GRO di bangunan pejabat sekitar Jalan Raja Chulan, awal pagi tadi. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menyerbu empat premis hiburan menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) di bangunan pejabat di sekitar Jalan Raja Chulan, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan bermula jam 1.30 pagi hingga 2.15 pagi itu, hasil maklumat risikan kegiatan aktiviti hiburan.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuat serbuan di empat pusat hiburan yang mempunyai aktiviti GRO di bangunan pejabat di sekitar Jalan Raja Chulan, di sini.

"Hasil serbuan ini, seramai 87 orang diperiksa terdiri daripada empat pengurus premis, 37 pengunjung, 33 pekerja dan 13 wanita warga asing.

"Di akhir pemeriksaan, seramai empat pengurus premis warga tempatan berusia 26 tahun hingga 60 tahun ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut ditahan seramai 13 wanita warga asing berusia 19 tahun hingga 45 tahun yang disyaki menyalahgunakan dokumen perjalanan bagi tujuan bekerja sebagai GRO.

"Pihak polis juga merampas peralatan muzik iaitu tiga monitor, dua mikrofon receiver, empat mikrofon, audio mixer, dua digital audio, tiga speaker dan empat amplifier.

"Kesemua individu yang ditahan akan direman hari ini bagi siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 11:52 AM