SARAH (kiri) bercerita kepada Umi Yasmin mengenai perkahwinannya dengan majikan di Arab Saudi. FOTO Agensi
SARAH (kiri) bercerita kepada Umi Yasmin mengenai perkahwinannya dengan majikan di Arab Saudi. FOTO Agensi
Agensi

Riyadh: Majikanku, suamiku. Itu ungkapan sesuai kepada seorang pekerja migran dari Banten, Indonesia yang bekerja sebagai amah di Arab Saudi apabila bertemu jodoh dengan majikannya, hanya selepas tiga hari dia bekerja.

TribunStyle.com melaporkan, wanita yang dikenali sebagai Sarah itu tidak pernah menyangka bakal berkahwin dengan majikan yang juga seorang warga emas.

Dalam temubualnya bersama YouTuber Umi Yasmin, Sarah mengakui dia ada memanjatkan doa supaya segera bertemu jodoh.

"Sama seperti kematian dan rezeki, jodoh adalah rahsia yang tidak diketahui.

"Saya baharu sahaja tiga hari bekerja di rumah majikan sebelum dia melamar saya dan kami berkahwin.

"Sejujurnya saya tidak mahu bekerja kerana malas. Saya kemudian berdoa agar dikurniakan jodoh segera. Doa akhirnya dimakbulkan selepas berjumpa dengan majikan.

"Walaupun sudah tua, majikan saya yang kini suami saya adalah seorang yang baik," katanya.

Sarah berkata, terus terang ketika awal perkahwinan tiada perasaan cinta dalam hatinya, malah suaminya juga mempunyai isteri.

Katanya, suaminya memberitahu dia jatuh hati dengan Sarah kerana melihat wanita itu seorang yang sangat baik.

Kini, Sarah dan suaminya hidup bahagia dan sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga.

"Alhamdulillah, saya sangat bahagia. Kalau saya balik ke Indonesia dia akan ikut.

"Dia membelikan kereta, tiga buah rumah dan tanah untuk saya," katanya yang kini tinggal di Taif.

Kini Sarah adalah satu-satunya isteri apabila lelaki itu menceraikan isterinya selepas empat tahun hidup bermadu.

Ketika ini Sarah menjalani kehidupan mewah bersama suami dan empat anak mereka iaitu dua lelaki dan dua perempuan hasil perkahwinan pada 2006 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 11:41 AM