Pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani
Pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun tumpas di Masters Malaysia pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani sempat membuatkan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen tergamam hasil pukulan kilas luar biasa yang tular di media sosial.

Pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani melakukan pukulan kilas hingga menyebabkan lawannya terpaku.
Pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani melakukan pukulan kilas hingga menyebabkan lawannya terpaku.

Izzuddin yang bergandingan bersama Goh Sze Fei bukan melakukan pukulan kilas 'biasa-biasa' sebaliknya ia berhampiran jaring, memusingkan badan dan juga melintangi gelanggang.

Menerusi video berdurasi satu minit empat saat itu Izzuddin yang juga pemain kelahiran Johor turut membuatkan pengulas terpaku dengan aksi memukau itu.

Selepas melakukan pukulan berkenaan Izzuddin meminta maaf kepada pasangan berkenaan secara spontan dan dia dibalas dengan senyuman oleh Astrup sambil menunjukkan isyarat bagus.

Dalam aksi berkenaan kelmarin Sze Fei-Izzuddin tumpas 19-21, 17-21 sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir manakala Astrup-Skaarup Rasmussen akan bermain di final hari ini selepas menewaskan satu lagi pasangan negara, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King 13-21, 19-21 di separuh akhir semalam.

Selain Izzuddin seorang lagi pemain yang sering melakukan pukulan kilas sambil memusingkan badan ialah perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat pula digelar 'Raja Pukulan Kilas' ketika masih aktif sebagai pemain, sebelum mengumumkan persaraan pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 10:57 AM