ZETI ketika  mengumumkan pengagihan pendapatan ASB, semalam.
ZETI ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASB, semalam.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) terus mempertingkatkan kekayaan pemegang unit amanahnya selari mandat diberikan selaku syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, antara usaha dilaksanakan adalah mengembangkan kadar pelaburannya di luar negara.

Beliau berkata, usaha terbabit termasuk menambah pegangan ekuiti asing khususnya di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Eropah serta pasaran sedang berkembang.

“Sebagai pengurus dana, penting untuk memahami tiada pasaran kebal terhadap ketidaktentuan pasaran serta perkembangan geopolitik yang memilki kesan besar kepada ekonomi global.

“Oleh itu, kami merancang meningkatkan kepelbagaian pelaburan PNB selari pelaburan global supaya ia dapat memberikan pulangan lebih tinggi berbanding ekuiti tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media Pembentangan Prestasi PNB pada suku keempat 2019 dan pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed.

Setakat November lalu, pendedahan luar negara seperti ekuiti awam, hartanah, pelaburan swasta dan tunai oleh PNB sekitar 8.3 peratus, manakala baki selebihnya 91.7 peratus kekal pada pasaran tempatan.

Pada tahun kewangan 2019, PNB mencatatkan Aset di Bawah Pengurusan (AUM) RM311.9 bilion, meningkat 5.7 peratus, manakala pendapatan bersih dan unit amanahnya kekal stabil pada RM10.7 bilion.

Unit dalam edaran turut mencatatkan peningkatan 7.5 peratus kepada 253.8 bilion unit bagi semua 14 dana serta memberikan pulangan kepada pemegang unit dengan jumlah pembayaran RM13.2 bilion merentasi semua dana pada tahun ini.

Zeti berkata, PNB turut menyasar mempercepatkan strategi kepelbagaian untuk semua kelas aset serta meneruskan pelan penciptaan nilai bagi syarikat strategik dan terasnya.

“PNB terus mengemudi pelaburan dalam persekitaran mencabar ini seperti yang kami lakukan selama lebih 40 tahun bagi memastikan terus beri pulangan mampan kepada semua pemegang unit.

“Kami terus memperkukuhkan portfolio pelaburan melalui strategi kepelbagaian, pengurusan risiko yang lebih teliti dan meningkatkan kecekapan dalaman menerusi rancangan transformasi organisasi yang progresif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 8:32 AM