SEBAHAGIAN kotak berisi rokok yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Hing Lee, Sandakan. FOTO ihsan PPM
SEBAHAGIAN kotak berisi rokok yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Hing Lee, Sandakan. FOTO ihsan PPM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Lebih 1,800 kotak rokok seludup dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Hing Lee, Sandakan, Jumaat lalu.

Dalam serbuan jam 5.30 petang itu, semua rokok yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran itu dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.2 juta termasuk cukai.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, Op Kontraband itu dijalankan atas maklumat berkaitan barang tidak bercukai.

Katanya, pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 984,000 batang rokok jenama Era Biru, Exsen Blueberry Click dan rokok kretek jenama Platinum Seven.

"Dalam serbuan itu, pasukan operasi turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga rumah berkenaan.

"Siasatan awal mendapati semua rokok dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya percaya, rumah itu dijadikan sebagai tempat menyembunyikan rokok tanpa kelulusan kastam sebelum dijual atau diedar ke pasaran sekitar.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut 135(1)(d) Akta Kastam 1976," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 11:06 AM