TENTERA Israel ketika operasi di Gaza. FOTO Tentera Israel/AFP
TENTERA Israel ketika operasi di Gaza. FOTO Tentera Israel/AFP
Reuters

Kaherah: Jurucakap sayap bersenjata Hamas hari ini berkata pejuangnya menangkap askar Israel ketika pertempuran di Jabalia di utara Gaza pada Sabtu, walaupun tentera Israel menafikan dakwaan itu.

Jurucakap sayap bersenjata Hamas tidak menyatakan berapa ramai askar yang diculik itu dan tidak menunjukkan bukti dakwaan berkenaan.

"Pejuang kami berjaya memperdaya pasukan Zionis masuk ke dalam perangkap serangan hendap di dalam terowong sebelum kami melancarkan serangan.

"Tentera Israel itu berundur dengan meninggalkan semua anggota pasukan mereka yang mati, cedera dan ditangkap," kata Abu Ubaida, jurucakap Briged Al Qassam, dalam satu mesej yang dirakamkan dan disiarkan oleh Al Jazeera awal Ahad.

Bagaimanapun tentera Israel menafikan dakwaan oleh sayap bersenjata Hamas itu.

"IDF (Pasukan Pertahanan Israel) menjelaskan bahawa tiada insiden itu, tidak ada seorang pun askar diculik," kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Hamas mengeluarkan video yang kelihatan menunjukkan seseorang yang berlumuran darah diseret di dalam terowong dan gambar tentera keletihan dan senapang.

Reuters tidak boleh mengesahkan secara bebas identiti orang yang ditunjukkan dalam video itu mahupun keadaannya.

Kenyataan oleh Abu Ubaida dibuat beberapa jam selepas potensi untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata yang diketengahkan pada Sabtu.

Seorang pegawai yang mengetahui perkara itu berkata, keputusan diambil untuk menyambung semula rundingan minggu depan selepas ketua agensi perisikan Mossad Israel bertemu Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) dan Perdana Menteri Qatar.

Sumber yang enggan dikenali itu berkata, ia telah diputuskan bahawa "dalam minggu akan datang rundingan akan dibuka berdasarkan cadangan baharu yang diketuai oleh pengantara, Mesir dan Qatar, dengan pembabitan aktif AS."

Seorang pegawai Hamas kemudiannya menafikan laporan media Israel bahawa rundingan itu akan disambung semula di Kaherah pada hari Selasa, memberitahu Reuters bahawa "Tiada penetapan tarikh."

Selepas lebih tujuh bulan perang di Gaza, pengantara bergelut untuk mendapatkan kejayaan, dengan Israel mencari titik pembebasan tebusan diculik Hamas dan Hamas pula mahu menamatkan perang serta membebaskan tawanan Palestin di Israel.

Hampir 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel, kata kementerian kesihatan Gaza.

Israel memulakan operasi sebagai tindak balas kepada pejuang Hamas yang menyerang komuniti Israel selatan pada 7 Oktober, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menculik lebih 250 tebusan, menurut pengiraan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 10:12 AM