DR Mahathir memberi ucapan ketika PCS 2019, semalam.
DR Mahathir memberi ucapan ketika PCS 2019, semalam.
Nabil Basaruddin


SYARIKAT pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan lebih penting dengan memperkukuhkan institusi serta dasar yang lebih baik bagi menyokong pertumbuhan untuk memacu sektor swasta.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha berkenaan membantu mewujudkan persekitaran positif yang akan memudahkan perkembangan sosioekonomi dalam negara.

Beliau berkata, GLIC dan GLC perlu menilai semula penyertaan mereka dalam sektor korporat negara dan mengiktiraf sinergi dengan sektor swasta, terutama ke arah memperkasakan usahawan.

Katanya, untuk mencapai matlamat ini, penting untuk sektor swasta memainkan peranan dan menjadi peneraju utama ekonomi negara.

“Sektor korporat perlu memainkan peranan lebih besar dalam mencipta nilai dan kekayaan dengan sebahagian proses ini adalah kunci kepada produktiviti dan pembangunan bakat.

“Penggunaan teknologi perlu diperluaskan manakala sektor swasta dan GLC perlu menyokong sistem pendidikan sedia ada selain memperkasakan usahawan yang akan menyumbang kepada sektor swasta.

“Usaha ini menyumbang kepada pertumbuhan lebih inklusif dengan kenaikan pendapatan dan peningkatan kualiti hidup lebih baik, termasuk kumpulan berpendapatan rendah,” katanya ketika berucap dan merasmikan Persidangan Koporat PNB 2019 (PCS 2019) di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr Zeti Aziz dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed.

Dr Mahathir berkata, kerajaan komited menyusun semula ekonomi Malaysia supaya negara ini muncul sebagai ekonomi yang lebih progresif, berasaskan pengetahuan dan memperkasakan rakyat tempatan.

Menurutnya, dari perspektif sektor awam, kerajaan perlu bekerja lebih masa bagi memperkukuh dan membersihkan segala kekacauan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.

Katanya, kerajaan juga melaksanakan pembaharuan penting untuk meningkatkan kestabilan, memperkuat pengurusan fiskal serta meningkatkan tadbir urus korporat dan ketelusan.

“Bagaimanapun, kerajaan menanggung beban hutang daripada pentadbiran terdahulu dalam merealisasikan usaha penstrukturan ekonomi negara ini.

“Meskipun kerajaan mengambil langkah menangani masalah ini, ia akan mengambil masa bagi memperbaiki keadaan fiskal negara pada masa ini,” katanya.

PCS 2019 bertemakan Rebooting Corporate Malaysia adalah persidangan korporat sulung PNB yang dihadiri lebih 500 peserta seperti penggubal dasar, kepimpinan utama serta pengurusan kanan GLIC dan GLC), ahli ekonomi, agensi penarafan dan badan kawal selia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 1:47 PM