Tun Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Tun Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


TUN Dr Mahathir Mohamad akui tidak mendapat maklumat mengenai pelantikan pakar pelaburan muda, Jalil Rasheed, 37, sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz tidak memaklumkan kepadanya mengenai lantikan itu.

“Saya tak dapat maklumat lantikan ini. Saya tak tahu. PNB duduk bawah Zeti tapi Zeti tak beritahu saya apa pun,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya media mengenai pengalaman dimiliki Jalil khususnya untuk memahami hala tuju ekonomi Bumiputera dan Melayu sedangkan beliau banyak menimba pengalaman di luar negara.

Jalil akan menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad yang kontraknya tamat pada 30 September ini serta dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Bhd pada 31 Oktober ini.

Pelantikan Jalil itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak ditubuhkan pada 17 Mac 1978.

PNB dalam satu kenyataan berkata, pada masa ini, Jalil adalah Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion (RM5.05 trilion) dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara.

Menurutnya, sebelum ini, beliau berpangkalan di luar negara dan pelantikan baharu di PNB adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memanfaatkan bakat Malaysia yang bekerja di luar negara dan ia juga seiring dengan inisiatif strategik PNB untuk mempelbagaikan aset di peringkat global.

“Jalil memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan dan Kewangan (Kepujian) dari London School of Economics & Political Science (LSE), United Kingdom,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 9:15 PM