ANGGOTA Perhilitan menangkap buaya tembaga di Sungai Ayer Salak di Kampung Tengah, Pulau Gadong, Klebang. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA Perhilitan menangkap buaya tembaga di Sungai Ayer Salak di Kampung Tengah, Pulau Gadong, Klebang. FOTO ihsan pembaca
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Perangkap berumpankan ayam dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Sungai Ayer Salak, Kampung Tengah, Pulau Gadong, Klebang di sini, sejak seminggu lalu akhirnya mengena seekor buaya, pagi semalam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Hamzah Ibrahim berkata, beliau menyedari perangkap itu mengena apabila melihat pintunya tertutup.

"Ketika melalui kawasan tempat perangkap dipasang kira-kira jam 8 pagi semalam, saya lihat pintunya tertutup dan ada seekor buaya di dalamnya.

"Saya terus menghubungi Perhilitan memaklumkan kejadian sebelum beberapa anggotanya tiba untuk menangkap buaya itu," katanya dihubungi di sini.

Menurutnya, buaya tembaga dengan panjang lebih tiga meter itu kemudian ditarik keluar dari perangkap oleh anggota Perhilitan selepas bahagian muncungnya dijerut.

"Saya difahamkan buaya ini bukan buaya yang membaham kambing milik penduduk sebelum ini kerana saiznya lebih kecil.

"Apapun kami penduduk berasa lega kerana penangkapan ini dapat mengurangkan bilangan buaya di sungai," katanya.

Dia berkata, pihak Perhilitan memaklumkan akan memasang semula perangkap di sungai itu selepas dibaiki.

Media sebelum ini melaporkan seorang penternak kerugian kira-kira RM2,000 apabila kambing betina baka Boer peliharaannya dibaham buaya ketika meragut rumput di tepi tebing sungai berkenaan.

Susulan itu, Perhilitan menjalankan pemantauan berkala di sungai berkenaan yang disahkan sebagai habitat reptilia itu serta memasang perangkap yang berupaya menangkap buaya dengan anggaran panjang tiga meter dan berat 500 kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 11:34 AM