Zahida Rafik.
Zahida Rafik.
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: Pelakon Zahida Rafik merancang mahu buat 'comeback' selepas 10 tahun meninggalkan bidang lakonan.

Zahida atau nama sebenarnya, Zahidah Mohamed Rafik berkata, kalau nak diikutkan dia sudah lama bersara daripada bidang lakonan.

"Kalau nak diikutkan, saya sudah lama 'pencen' (bersara) tapi kadang kala rindu nak berlakon datang semula.

"Tawaran berlakon sentiasa ada tapi bila rindu nak berlakon, saya pula yang sibuk. Bila saya tidak sibuk tiada pula tawaran yang datang.

"Saya suka melancong dan menikmati alam semula jadi. Bila ada tawaran berlakon, saya pula tak boleh nak bagi komitmen sebab tak ada kelapangan pula," katanya ketika ditemui pada Malam Bersamamu Rafah yang berlangsung di Damansara di sini, malam tadi.

Kata Zahida, perasaan rindu itu timbul apabila dia melihat ramai rakan seperjuangannya masih aktif dalam bidang seni tanah air.

"Bila tengok kawan-kawan berlakon perasaan rindu itu masih ada. "Namun, selepas lama tak berlakon, saya takut nak ambil naskhah atau drama bersiri yang panjang.

"Saya juga lebih selesa memilih naskhah yang pendek bila nak buat 'come back' (kemunculan semula) nanti," katanya.

Ditanya mengenai watak yang diidamkan pula, kata Zahida, dia mahu watak yang lasak dan mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

"Kalau zaman saya berlakon dulu tak ramai pengarah baharu macam sekarang.

"Walaupun terhad tapi naskhah yang dihasilkan semua bagus dan saya juga berasa teruja nak berlakon dulu.

"Saya ada menerima tawaran projek drama bersiri panjang dari penerbit Metrowealth, David Teo tetapi terpaksa menolaknya, baru-baru ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 11:07 AM