JALIL (dua dari kanan) bersama pemenang kategori beruniform, Nurul Firdaus  Juhan (dua dari kiri) dan Norayu Mohamad daripada unit beuniform perhutanan, semalam.
JALIL (dua dari kanan) bersama pemenang kategori beruniform, Nurul Firdaus Juhan (dua dari kiri) dan Norayu Mohamad daripada unit beuniform perhutanan, semalam.
Che Wan Badrul Alias


PUCHONG: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Jalil Rasheed bakal menerajui pembaharuan dan pemodenan operasi pelaburan pengurus dana itu bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, sejajar sasaran menjadikannya institusi pelaburan bertaraf dunia.

Komitmen itu menjadi mesej jelas beliau kepada pelabur selepas memulakan tugas memimpin PNB bermula 1 Oktober lalu.

Jalil berkata, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz memberi amanat yang ringkas kepadanya iaitu meminta beliau menjadikan PNB institusi pelaburan bertaraf dunia.

Justeru, katanya beliau berusaha mencapai amanat itu dengan menjadikan PNB lebih baik, lebih moden dan membina infrastruktur dengan lebih tersusun supaya ada keupayaan membuat keputusan pelaburan terbaik pada masa depan.

“Tiada apa yang boleh dijanjikan dalam bidang pelaburan namun dunia kini bukan hanya membabitkan pasaran ekuiti dan bon semata-mata seperti era 1990-an.

“Hari ini, kita perlu memikirkan pelaburan hartanah, ekuiti swasta, pelaburan rentas sempadan. Jika pelaburan luar negara perlu diketahui negara dan kategori bagaimana sesuai dengan pelaburan PNB.

“Kami perlu pertimbangkan semua ini secara kompleks dan memerlukan kemahiran khusus. Ini sebab Lembaga Pengarah membawa saya masuk kerana itu apa yang saya mahu tawarkan kepada PNB untuk menjadikannya lebih baik,” katanya dalam sidang media Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB di sini, semalam.

Pelantikan Jalil sebelum ini menjadi tajuk berita utama selepas beliau mencatat sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak ditubuhkan pada 17 Mac 1978.

Bagaimanapun, Zeti tampil mempertahankan Jalil dengan menegaskan pelantikan itu mengikut prosedur standard, selain pengalamannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion (RM5.05 trilion) pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara.

Sementara itu, menjawab keraguan sesetengah pihak terhadap kemampuannya menerajui PNB, Jalil berkata, pengalamannya di luar negara menjadi bukti ampuh terhadap kredibilitinya menerajui PNB.

Katanya, ketika ditemui Zeti beberapa bulan lalu, beliau melihat tawaran itu sebagai ruang menyumbang kembali kepada negara dan menjadikan PNB lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 6:57 AM