YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji Malaysia, yang akan berlepas ke Tanah Suci bagi musim haji 1445H/2024 hari ini. Turut berangkat mengiringi baginda ke majlis itu anakanda Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji Malaysia, yang akan berlepas ke Tanah Suci bagi musim haji 1445H/2024 hari ini. Turut berangkat mengiringi baginda ke majlis itu anakanda Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Sepang: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Dewan Mentari, Pusat Konvensyen Hotel Movenpick, di sini, hari ini, untuk mengucapkan selamat jalan kepada 282 jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci.

Seri Paduka Baginda tiba di pusat berkenaan pada jam 9.45 pagi diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Turut hadir, Tunku Tun Aminah, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji kumpulan penerbangan ke-55 (KT055) yang dijadual berangkat ke Tanah Suci menaiki pesawat AMAL Malaysia Airlines MH8122 pada jam 1.30 tengah hari ini dan dijangka tiba pada jam 5.25 petang (waktu Arab Saudi).

Bagi memberkati perjalanan jemaah haji, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan membacakan doa memohon keselamatan dan dipermudahkan segala urusan ibadah mereka.

Mohd Na'im dalam ucapannya pada majlis berkenaan mengingatkan jemaah haji supaya menumpukan perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di tanah suci dan sekiranya berdepan sebarang masalah boleh berhubung dengan petugas TH.

Katanya, jemaah juga dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan dan memakai gelang serta kad pengenalan diri yang dibekalkan TH supaya mudah dikenal pasti sekiranya berlaku kecemasan.

Sejumlah 31,600 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini dan 16,000 jemaah mula tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat sejak 9 Mei lalu dan akan berakhir pada 9 Jun ini.

Terdahulu pada majlis sama, Mohd Na'im menyerahkan insentif kepada bakal haji daripada keluarga B40 di Wilayah Persekutuan bagi musim haji 2024/1445H.

Insentif berjumlah RM144,500 itu hasil sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk diagihkan kepada 289 bakal haji.

Pemberian insentif berjumlah RM500 kepada setiap jemaah itu diberikan melalui wang sumber Am berjumlah RM144,500 sebagai tanda keprihatinan MAIWP kepada kebajikan golongan B40.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 11:46 AM