POLIS mengesan penunggang  mikromobiliti yang membahayakan pengguna jalan raya di Bandar Tasik Puteri, Rawang sehingga tular di media sosial. FOTO ihsan polis
POLIS mengesan penunggang mikromobiliti yang membahayakan pengguna jalan raya di Bandar Tasik Puteri, Rawang sehingga tular di media sosial. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Polis mengesan penunggang mikromobiliti yang membahayakan pengguna jalan raya di Bandar Tasik Puteri, Rawang sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya terkesan rakaman video berdurasi 30 saat pada jam 12 tengah hari semalam yang tular di media sosial.

Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kenderaan itu ditunggang dari arah Persiaran Tan Sri Low Yow Chuan menghala ke Persiaran Lembah Hijau 3 di Bandar Tasik Puteri, Rawang menggunakan lorong paling kanan.

"Perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya bukan saja kepada penunggang mikromobiliti tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Polis sedang mengesan penunggang kenderaan mikromobiliti dan meminta pemilik rakaman papan pemuka untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 3(1) P.U.(a) 453/202 (menggunakan kenderaan mikromobiliti tertentu yang dilarang).

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mazlan Mohd Arifin di talian 012-4551413 atau bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 11:00 AM