Pengurus Leverkusen Xabi Alonso menjulang Piala Jerman selepas perlawanan menentang Kaiserslautern.
Pengurus Leverkusen Xabi Alonso menjulang Piala Jerman selepas perlawanan menentang Kaiserslautern.
AFP

Berlin: Pengurus Leverkusen Xabi Alonso bersedia untuk meraikan secara besar-besaran selepas kelabnya meraih dua gelaran sambil memberitahu wartawan bahawa "Esok saya tidak bekerja."

Ketika ditanya sama ada beliau akan meraikan kejayaan penuh gemilang bersama pemain di ibu kota Jerman, sebelum kelab kembali ke Leverkusen untuk perarakan, Alonso menjawab "sudah tentu."

"Kami perlu menikmatinya. Kami perlu melepaskan tekanan dari sepanjang musim ini.

"Esok saya tidak bekerja."

Barisan pemain Leverkusen meraikan kejayaan pasukannya menjulang Piala Jerman.
Barisan pemain Leverkusen meraikan kejayaan pasukannya menjulang Piala Jerman.

Leverkusen memenangi Bundesliga menerusi rekod tanpa kalah iaitu gelaran liga pertama kelab terbabit dan menjulang Piala Jerman selepas Granit Xhaka menjaringkan gol tunggal untuk kemenangan 1-0 menentang Kaiserslautern.

Musim penuh pertama Alonso menguruskan pada peringkat tertinggi berakhir dengan kemenangan berganda dalam Bundesliga dan Piala Jerman, final Liga Europa serta rekod cemerlang hanya satu kekalahan dalam 53 perlawanan.

Satu-satunya kekalahan Leverkusen pada final Liga Europa pada Rabu lalu menentang pasukan dari Liga Serie A, Atalanta, tetapi pasukan Alonso bangkit dengan cara yang mantap.

"Saya memerlukan sedikit masa lagi untuk memahaminya. Ia adalah musim penuh impian. Dapat meraikan di sini adalah luar biasa. Kami perlu menikmatinya," kata Alonso kepada rangkaian ARD Jerman.

Jurulatih itu, yang menolak tawaran dari Liverpool, Bayern Munich dan Real Madrid untuk kekal di Leverkusen musim ini, disambut dengan nyanyian "Xabi Alonso" oleh peminatnya.

"Sudah tentu saya gembira dan bangga dengan pemain. Kami layak menikmati kemenangan berganda ini," kata pemain Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 11:50 AM