NUFAM harap kerajaan terus pegang kepentingan dalam MAB dengan elak penswastaan penuh
NUFAM harap kerajaan terus pegang kepentingan dalam MAB dengan elak penswastaan penuh
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang pemberhentian pekerja, selain bukan penswastaan penuh dan perlu mengekalkan Malaysia Airlines Bhd (MAB) sebagai syarikat penerbangan nasional. Itu permintaan serta gesaan bekas dan kesatuan warganya terhadap kerajaan jika pengambilalihan oleh pihak swasta langkah yang diputuskan untuk memulihkannya.

Mereka berpandangan pilihan terbaik adalah usaha sama dengan kerajaan, selain kepentingan Khazanah Nasional Bhd dalam MAB.

Ini kerana jika sebaliknya, pemilikan swasta secara penuh hanya akan menjejaskan kepentingan negara, menurut mereka.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin berharap kerajaan kekal menjadi pemegang kepentingan majoriti dalam MAB.

Abdul Aziz berkata, usaha sama itu menjadi langkah terbaik dalam memulihkan MAB memandangkan kerajaan tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk disuntik ke dalam syarikat penerbangan itu.

“Semuanya bergantung kepada kerajaan, bahkan kalau nak jual semua saham sekali gus pun boleh kerana mereka punya hak.

“Kerajaan boleh ambil bahagian dalam perniagaan MAB tetapi dengan kerjasama pihak swasta. Itu cara yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ismail percaya terdapat beberapa perkara yang kerajaan tidak seharusnya lepaskan demi kepentingan negara.

“Penting untuk kerajaan memiliki ‘saham emas’ (kepentingan majoriti) dalam MAB kerana skop menjalankan perniagaan mungkin berbeza (pada masa depan).

“(Jika tidak) MAB akan diuruskan mengikut cara swasta menjalankan perniagaan, dengan mereka (pihak swasta) boleh memberhentikan 10,000 pekerja begitu saja,” katanya.

Beliau berpendapat MAB perlu dipantau Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan, di samping mengurangkan kepentingan Khazanah sebagai pemegang saham tunggal dalam syarikat penerbangan berkenaan untuk menghapuskan sebarang ‘gangguan dalaman’.

“Selama ini Khazanah yang merangka pelan pemulihan dan tidak dapat dilaksanakan.

“Justeru itu, kerajaan sewajarnya membenarkan pasukan baharu (dalam lembaga pengarah dan pengurusan atasan) untuk memimpin syarikat penerbangan yang ‘sakit’ ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 7:26 AM