PESAWAT Malaysia Airlines. FOTO Arkib NSTP
PESAWAT Malaysia Airlines. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Bhd yang juga pemegang saham tunggal syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Berhad (MAB) kini dilihat semakin hampir untuk memuktamadkan keputusannya - sama ada terus menyalurkan satu lagi talian hayat untuk MAB atau bertindak sebaliknya.

Setakat ini, tiada sebarang petanda jelas jika MAB mampu bangkit semula, walaupun Khazanah bertindak menyalurkan dana memandangkan kerajaan telah memberi sokongan kewangan terhadap syarikat penerbangan itu sejak 20 tahun lepas.

Malah, suka atau tidak, satu keputusan muktamad perlu dibuat ketika liabiliti dan hutang MAB terus meningkat.

Jilka dilihat, pada akhir 2018, liabiliti MAB hanyalah kurang RM5.5 bilion manakala pada 6 Oktober lepas, syarikat penerbangan itu mengumumkan pelaksanaan pelan penstrukturan semula segera dengan hutang mencecah RM16 bilion.

Kalangan penganalisis penerbangan berpendapat sudah tiba masanya untuk Khazanah mengurangkan pegangan atau pemilikannya dan sebaliknya mempertimbang langkah penswastaan penuh dalam usaha menyelamatkan MAB apabila kerajaan tidak lagi mempunyai peruntukan secukupnya untuk menampung MAB.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga sudah beberapa kali menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi dapat menyuntik dana secara tunai atau pun modal untuk MAB dan menyerahkan kepada Khazanah untuk membuat keputusannya.

Dalam laporan sebelum ini, syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), telah memaklumkan syarikat pemiutang dan pemajak bahawa Khazanah akan menghentikan penyaluran dana ke dalam kumpulan itu dan menutup operasi syarikat penerbangan itu sekiranya langkah penyusunan semula hutang tersebut terbukti gagal.

Setakat ini, Malaysia Airlines masih mengekalkan khidmat lebih 12,000 kakitangannya dan telah melaksanakan tindakan potongan gaji pada Mac lepas.

Jumlah pekerja itu kekal bertahan walaupun dalam persekitaran Covid-19 yang tidak dijangkakan dan menyaksikan syarikat penerbangan berkenaan mengambil beberapa langkah termasuk mengenakan potongan gaji, cuti tanpa gaji secara sukarela dan tidak memperbaharui khidmat pekerja kontrak.

Menurut laporan, jika pelan penstrukturan semula membabitkan hutang bernilai RM16 bilion itu gagal, kumpulan penerbangan itu akan mempertimbang pelaksanaan Pelan B iaitu menyuntik dana ke dalam Firefly - syarikat penerbangan tambang rendah yang dimiliki sepenuhnya oleh MAG.

Firefly yang mengendalikan 12 pesawat enjin 'turboprop' yang beroperasi kebanyakannya dalam negara, akan menjadi syarikat penerbangan nasional jika Khazanah meneruskan pelan tersebut.

Langkah menceburi segmen tambang rendah ini dilihat memberi lebih banyak peluang untuk Khazanah dalam pasaran berikutan kesukaran meneruskan kelangsungan dalam segmen premium ketika MAB bergelut melunaskan pembayaran kepada pihak pemiutang dan pemajak.

Ketika berkongsi pandangannya, penganalisis penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof yakin Khazanah sebaliknya mampu menjadikan Firefly sebagai syarikat penerbangan nasional yang baharu.

"Selagi Khazanah bersedia dan sanggup menyuntik duit rakyat, mana-mana syarikat tempatan yang memiliki sijil operator udara (AOC) boleh dijadikan syarikat penerbangan nasional baharu. Siapa yang boleh menghalang Khazanah?" katanya kepada Bernama.

Bernama telah berusaha mendapatkan ulasan Firefly namun tidak berjaya setakat ini.

Sementara itu, seorang lagi pakar penerbangan yang enggan dikenali berpendapat bidang Firefly adalah perkhidmatan domestik melalui khidmat pesawat turboprop.

Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan mengekalkan status quo tidak akan memberi apa-apa kelebihan dalam menjadi syarikat penerbangan nasional.

"Bagaimanapun, dengan mempunyai beban kewangan yang berkurangan berbanding MAB, ia akan menjadi peluang yang baik untuk Firefly dari segi menilai semula skala operasinya, terutamanya dengan kewujudan banyak pesawat kecil dalam pasaran pesawat terpakai selain pasaran pajakan dengan kadar rendah.

"Walaupun industri pelancongan secara keseluruhannya masih belum meningkat (semula), ini sebaliknya mungkin masa yang sesuai untuk menilai semula skala operasi Firefly sebelum permintaan perjalanan udara kembali meningkat pada masa depan," katanya.

Mengulas prospek Firefly sebagai syarikat penerbangan nasional tambang rendah baharu, katanya ia adalah munasabah untuk menganggap Firefly mampu bersaing dengan Kumpulan AirAsia untuk perkhidmatan domestik namun di peringkat serantau, AirAsia berada dalam kedudukan kukuh di pasaran ASEAN.

"Sudah tentu, ia akan memakan masa untuk Firefly mewujudkan kedudukannya di peringkat serantau apabila permintaan terhadap perjalanan antarabangsa meningkat," katanya.

Menurut Pusat Penerbangan (CAPA) iaitu antara sumber risikan pasaran paling dipercayai di dunia untuk industri penerbangan dan perjalanan -- AirAsia adalah jenama syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia Tenggara.

Jika dilihat, mandat Khazanah adalah mengembangkan kekayaan jangka panjang Malaysia, untuk meningkatkan nilai pelaburan secara mampan selain melindungi modal kewangan yang disuntik ke dalam dana.

MAB misalnya telah diswastakan pada 2014 yang menyaksikannya mengeluarkan sejumlah RM1.38 bilion untuk membeli baki 30.6 peratus yang tidak dimilikinya.

Ini merupakan sebahagian daripada pelan penstrukturan semula utama Khazanah bernilai RM6.2 bilion untuk memulihkan MAB yang sebelum ini dikenali sebagai MAS.

Malangnya, penularan pandemik Covid-19 telah menghentikan "momentum baik" dinikmati MAB yang turut dijangka berterusan pada 2020.

Kerajaan secara terbuka telah berusaha mencari rakan strategik untuk syarikat penerbangan itu sejak tahun lepas dengan lima cadangan telah diterima pada awal tahun ini, tetapi Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mendedahkan syarikat tersebut.

Oleh itu, bagaimanakah masa depan Malaysia Airlines? Apa yang pasti, kini terpulang kepada Khazanah untuk memutuskannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 7:59 PM