IMEJ ini dirakamkan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. FOTO Fathil Asri
IMEJ ini dirakamkan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. FOTO Fathil Asri

Sepang: Malaysian Airline System Bhd (MAS) akan menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada 20,000 kakitangannya bermula hari ini, disusuli surat tawaran kepada 14,000 kakitangan untuk menyertai entiti baru, Malaysian Airlines Bhd (MAB).

MAB ialah entiti baru yang ditubuhkan pemegang saham utama MAS, Khazanah Nasional Bhd untuk mengambil alih kontrak, aset dan liabiliti syarikat penerbangan nasional itu dalam usaha untuk memulihkannya bagi meraih semula keuntungan.

Ketua Pegawai Eksekutif yang bakal dilantik, Christoph Mueller dalam satu taklimat, berkata 14,000 pekerja yang menerima surat tawaran akan diberikan 12 hari untuk memutuskannya.

Katanya, pekerja yang memutus untuk menyertai MAB akan mula bekerja dengan entiti baru itu bermula 1 September.

Menyifatkan proses penyusunan semula MAS itu sebagai `pemulihan semula yang sukar’, beliau berkata model perniagaan MAB akan sebahagian besarnya komersial dengan harapan syarikat penerbangan itu akan bangkit semula menjelang 2017.

Penyusunan semula kapasiti termasuk penamatan perkhidmatan kakitangan adalah sebahagian daripada pelan pemulihan 12 perkara MAS yang diumumkan Khazanah dalam usaha untuk mengekang kos. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 10:54 PM