BELLEW tiba pada sidang media MAB, semalam.
BELLEW tiba pada sidang media MAB, semalam.
Hafiz Ithnin dan Garret Dawum

Kuala Lumpur : Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAB) Peter Bellew yakin pelantikan Kapten Izham Ismail mampu meneruskan usaha penstrukturan semula MAB yang dijangka meraih keuntungan menjelang 2018.

Malah, dalam kenyataan Bellew sebelum ini turut menekankan bahawa MAB perlu merekodkan pertumbuhan keuntungan stabil sekitar empat peratus pada 2018 dan beliau yakin syarikat itu mampu untuk disenarai awam pada masa depan.

Beliau menasihatkan MAB tidak perlu mengambil pusing mengenai hal yang tidak memberi manfaat daripada pelbagai pihak untuk mencapai matlamat keuntungan pada tahun sasaran.

“Jangan ambil pusing mengenai perkara mengarut dibentangkan pihak tertentu misalnya daripada pembekal pesawat, pembekal enjin atau syarikat senarai awam.

“Ini kerana ketika saya memegang jawatan itu, sekiranya ada pihak membentangkan idea tidak masuk akal, mereka pasti berdepan dengan kata-kata sumpahan saya di dalam bahasa Ireland,” katanya pada sidang media khas, di sini, semalam.

Dilaporkan sebelum ini, Bellew secara mengejut menghantar surat peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MAB pada 8 Oktober lalu dan beliau menafikan peletakan jawatannya berikutan sebarang isu politik termasuk aktiviti pembelian pesawat Boeing dan Airbus.

Mengulas perkara itu, katanya, urusan pembelian pesawat Boeing atau Airbus tidak pernah membabitkan campur tangan mana-mana pihak termasuk Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Khabar angin mengenai perkara campur tangan ini tidak benar seratus peratus. Malah Perdana Menteri memberi galakan ke atas setiap keputusan dibuat kami.

“Mudah pembelian pesawat ini kerana MAB memerlukan jenis reka bentuk pesawat yang lebih lebar dan bukan berbentuk kecil,” jelasnya.

Beliau menegaskan peletakan jawatan berkenaan kerana beliau ingin berbakti kepada negaranya dengan mengendalikan syarikat penerbangan RyanAir Holdings PLC yang kini berdepan krisis perniagaan.

Katanya, MAB juga tidak perlu takut dengan cabaran pesaing industri lain kerana syarikat penerbangan berkenaan mempunyai pasaran cukup kompetitif di peringkat antarabangsa ketika ini.

Ditanya mengenai sama ada beliau perlu membayar penalti kepada Khazanah kerana meletakkan jawatan sebelum berakhirnya tempoh kontrak jawatannya pada Jun 2019, katanya, perkara itu terlalu sulit untuk dikongsikan kepada media.

Sementara itu, Bellew menyifatkan pelantikan Izham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAB yang baru adalah tepat kerana beliau mempunyai pengalaman luas di dalam syarikat berkenaan dan digemari ramai kakitangan MAB.

“MAB sememangnya memerlukan rakyat tempatan untuk menerajuinya. Selain itu, secara peribadi saya melihat beliau mempunyai karisma untuk menerajui syarikat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 10:01 AM