TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KERAJAAN tidak bercadang untuk menyelamatkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang terjejas ekoran Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, tiada pelan yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap syarikat penerbangan kerana mereka beroperasi sebagai entiti komersial.

Katanya, Kementerian Kewangan juga tidak memperuntukkan sebarang dana khusus untuk menampung kerugian dialami MAB.

"Kerajaan dan Kementerian Kewangan tidak ada cadangan untuk memberikan peruntukan bagi membantu syarikat penerbangan itu tetapi ada bantuan untuk industri penerbangan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Jalan Raja Laut, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Alizakri Alias.

Dalam sidang media sama, Tengku Zafrul turut menafikan Khazanah Nasional Berhad (Khanazah) akan menyuntik dana RM5 bilion kepada MAB.

Katanya, perkara itu tidak pernah dibincangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Khazanah sebelum ini.

"Saya tidak pernah dengar laporan ini walaupun menjadi Ahli Lembaga Pengarah Khazanah," katanya.

Malaysia Aviation Group (MAG) turut menafikan laporan berkaitan suntikan dana sehingga RM5 bilion kepada MAB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 7:01 PM