Amirul Feisal Wan Zahir
Amirul Feisal Wan Zahir
BERNAMA

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham tunggal Malaysia Airlines Bhd (MAB), terbuka kepada semua kaedah bagi mencapai strategi pertumbuhan syarikat penerbangan nasional itu, termasuk mengukuhkan laluan jarak jauhnya.

"Kami terbuka kepada semua kaedah untuk mencapai strategi kami," kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir ketika ditanya sama ada dana kekayaan negara itu sedang mencari rakan kongsi lain dalam MAB.

Khazanah Nasional ialah pemegang saham tunggal MAB melalui anak syarikatnya, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG).

Amirul Feisal berkata, syarikat penerbangan nasional itu menunjukkan prestasi (yang baik), dan ia harus mengambil peluang untuk menjadi lebih berdaya tahan.

"Kini tumpuan adalah untuk membina produk yang boleh dibanggakan, serta pembangunan produk termasuk tenaga kerja, kejuruteraan dan operasi, yang masih diteruskan sehingga kini.

"Mengenai akses, kami menyedari bahawa pesawat itu sudah berusia, tetapi urusan penggantian mengambil masa kerana menghadapi isu rantaian bekalan global," katanya pada taklimat media berkaitan Tinjauan Tahunan Khazanah 2024 di sini, semalam.

Terdahulu, Amirul Feisal berkata, untuk aset syarikat penerbangannya, MAG, syarikat induk bagi syarikat penerbangan itu, ia meraih pendapatan bersih selepas cukai (NIAT) tahun penuh positif pertama pada tahun lepas sejak 2010, dan tiada suntikan modal tambahan diperlukan pada tahun berkenaan.

Beliau berkata, ini didorong oleh permintaan yang kukuh berikutan pemulihan dalam perjalanan antarabangsa dan domestik, kapasiti penumpang kembali ke tahap sebelum Covid-19, pengurusan kos yang berkesan, dan pengoptimuman aliran tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 9:58 AM