AFIF hanya kurang empat mata di belakang Azroy.
AFIF hanya kurang empat mata di belakang Azroy.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran mengakui bakal berdepan saingan sengit dalam memburu juara keseluruhan CP150 menjelang pusingan kemuncak Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 17 hingga 19 Disember ini.

Di atas kertas, pelumba Honda Yuzy Team, Azroy Hakeem Anuar mendahului carta pelumba dengan 125 mata, namun Ahmad Afif yang juga juara dua kali pada 2018 dan 2019 mengekori rapat kurang hanya empat mata.

Md Akid Aziz dari ONEXOX TKKR Racing Team turut mengintai peluang dalam dua perlumbaan di Sepang nanti. Akid yang menawan Litar Sepang Utara pada September lalu ketika ini mengumpul 106 mata dan dipisahkan 15 mata dengan Afif dan 19 mata daripada Azroy.

"Peluang sememangnya terbuka luas bagi kelompok tiga teratas ini memburu gelaran dan saya menjangkakan persaingan bakal menjadi sengit di Sepang. Saya boleh katakan trek besar seperti Sepang ini, semua mempunyai peluang sama rata.

"Jadi saya menjangkakan persaingan akan menjadi sengit kerana ini adalah pusingan kemuncak dan masing-masing mahu mencari penamat di podium. Saya juga ingin mencari mata semaksimum mungkin di Sepang. Insya-Allah, kalau ada rezeki saya mahu meraih gelaran kali ketiga," kata Afif mengenai perlumbaan kemuncak musim ini.

Pada musim lalu, Afif menamatkan saingan di kedudukan kelapan dengan 49 mata manakala Md Helmi Azman muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 143 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 10:28 PM